Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berkata kepada Saidatina Faatimah (radhiyallahu ‘anha):
إني وإياك وهذا النائم – يعني عليا – وهما – يعني الحسن والحسين – لفي مكان واحد يوم القيامة (أي في الجنة) (المستدرك للحاكم، الرقم: ٤٦٦٤)
“Sesungguhnya diriku, dirimu, orang yang sedang tidur ini (merujuk kepada Saidina Ali (radhiyallahu ‘anhu)) dan kedua-dua (anak lelaki yang merujuk kepada Saidina Hasan dan Saidina Husain (radhiyallahu ‘anhuma)) semuanya akan bersama di satu tempat pada hari Qiyamah (iaitu kita semua akan bersama di Syurga).” (Al-Mustadrak lil Haakim #4664)
Kecintaan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) kepada Saidina Ali (radhiyallahu ‘anhu)
Saidina Ali (radhiyallahu ‘anhu) menceritakan:
Pada satu ketika, aku telah jatuh sakit. Ketika aku sakit, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) datang menziarahiku. Ketika Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) memasuki rumahku, aku sedang berbaring. Melihat diriku dalam keadaan ini, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) mendekati sisiku dan kemudian menanggalkan selendang yang dipakai baginda dan kemudian menyelimutiku dengannya. Selepas itu, apabila melihat kelemahanku, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berdiri, pergi ke masjid dan menunaikan solat sunnat. Selepas menunaikan solat, dia memohon kepada Allah Ta‘ala agar dikurniakan kesembuhan kepadaku.
Setelah itu, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) datang kepadaku, mengangkat selendangnya dariku dan berkata kepadaku, “Berdirilah wahai anak Abu Thalib, karena engkau telah sembuh!” Oleh itu, aku berdiri, dan mendapati diriku telah sembuh sepenuhnya. Aku mendapati diriku dalam keadaan yang mana tidak ada tanda-tanda penyakit atau kelemahan pun yang tersisa dalam badanku.
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) kemudian bersabda, “Setiap kali aku berdo’a kepada Allah Ta’ala, Dia mengabulkan doaku dan mengabulkan apa yang aku minta. (Dalam kesempatan ini,) apa sahaja yang aku minta untuk diriku sendiri, aku juga meminta untukmu, (termasuk kesembuhanmu).” (Fazaa’il-ul-Khulafaa li-Abi Nu’aim #79)
Dari kisah ini, kita dapat melihat betapa besarnya cinta Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) kepada Saidina Ali (radhiyallahu ‘anhu). Begitu juga, kita memahami bahawa Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah mengajar kita, melalui tindakannya, bahawa apabila kita jatuh sakit, maka kita hendaklah berdo’a kepada Allah Ta’ala, memohon kesembuhan, kerana segala-galanya terletak pada kawalan dan kuasa Allah Ta’ala.