Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) pernah berucap kepada para Sahaabah (radhiyallahu ‘anhum) dengan berkata:
يطلع عليكم الآن رجل من أهل الجنة فطلع سيدنا سعد بن أبي وقاص رضي الله عنه (مسند أحمد، الرقم: ١٢٦٩٧، مسند البزار، الرقم: ٦٨٣٦)
“Seorang lelaki dari ahli Syurga akan segera muncul di hadapanmu”. Pada masa itu, Saidina Sa’ad bin Abi Waqqaas (radhiyallahu ‘anhu) muncul dalam perhimpunan itu. (Musnad Ahmad #12697, Musnadul Bazzaar #5836)
Tindakan yang Menyebabkan Saidina Sa’ad (radhiyallahu ‘anhu) Mendapat Berita Gembira Tentang Syurga
Saidina Anas (radiyallahu anhu) meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, para Sahabat (radhiyallahu anhum) duduk bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) ketika mana baginda bersabda, “Sebentar lagi, seorang lelaki dari penghuni Syurga akan muncul di hadapanmu.” Sejurus itu, Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) muncul, membawa sandal di tangan kirinya, dengan janggutnya menitiskan air wudhu.
Pada hari kedua dan ketiga, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) membuat pengumuman yang sama, dan pada kedua hari itu, orang yang masuk adalah Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu).
Saidina Abdullah bin Amr bin Aas (radhiyallahu anhuma) ingin meluangkan sedikit masa bersama Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) supaya dia dapat memerhatikan tingkah laku dan tindakannya, dan dengan itu mengenal pasti kualiti atau tindakan istimewa yang dimilikinya yang mana Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) telah memberi khabar gembira tentang Syurga.
Oleh itu, pada hari ketiga, selepas Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) keluar dari majlis itu, Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) berdiri dan mengikuti Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) untuk bercakap dengannya. Ketika bertemu dengannya, Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) berkata kepadanya, “Aku telah berselisih pendapat dengan ayahku, kerana itu aku bersumpah bahawa aku tidak akan pulang selama tiga hari. Adakah kamu fikir kamu boleh memberiku tempat di rumahmu untuk tinggal sehingga tiga hari ?”
Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) bersetuju dan Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) mula tinggal bersamanya. Akan tetapi, walaupun setelah memerhatikannya selama tiga hari, Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) tidak melihat sebarang tindakan yang dianggapnya luar biasa. Malah, dia tidak melihat Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) bangun pada waktu malam untuk menunaikan Solat Tahajjud . Dia hanya akan bangun pada waktu Subuh. Namun, dia memerhatikan bahawa apabila mata Saidina Sa’d (radhiyallahu ‘anhu) terbuka pada waktu malam dan dia akan berpaling dari satu sisi ke sisi lain di atas katilnya, dia akan membaca beberapa zikir sebelum tertidur semula.
Walau bagaimanapun, kualiti luar biasa yang Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) perhatikan pada Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) ialah beliau hanya bercakap baik (mengenai manusia dan beliau tidak pernah berkata buruk tentang sesiapa pun).
Akhirnya, apabila tiga hari telah berlalu, dan Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) tidak melihat sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) yang kerana itu beliau boleh mengaitkan khabar gembira Syurga kepadanya , beliau memutuskan untuk mendekati Saidina Sa’d (radhiyallahu ‘anhu) dan memberi alasan sebenar kepadanya akan kenapa dia tinggal disitu selama tiga hari.
Oleh itu, dia mendekati Saidina Sa’d (radhiyallahu ‘anhu) dan berkata, “Wahai hamba Allah! Sebenarnya, tidak ada perselisihan faham atau putusan hubungan antara ayahku dan diriku sendiri. Namun, sebab aku ingin tinggal bersamamu adalah kerana selama tiga hari berturut-turut, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) membuat pengumuman berikut, “Seorang lelaki dari ahli Syurga akan muncul dalam perhimpunan”, dan pada ketiga tiga hari itu, kamu muncul. Itulah sebabnya aku ingin tinggal bersamamu supaya aku dapat memerhatikan tindakanmu dan kelakuanmu serta mencontohi sifat-sifat baikmu. Namun, (dengan memerhatikan tindakan kamu,) aku tidak mendapati kamu melakukan banyak amalan sunnat, maka beritahulah aku tindakan istimewa yang kamu lakukan yang kerananya kamu mendapat berita gembira khusus tentang Syurga daripada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam)?”
Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) menjawab, “Satu-satunya perbuatan yang aku lakukan adalah perbuatan yang kamu perhatikan (iaitu tidak ada lagi dalam hidupku yang aku lakukan selain apa yang baru kamu lihat).” Mendengar ini, Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) berpaling hendak pergi. Namun, ketika dia hendak pergi, Saidina Sa’d (radhiyallahu anhu) memanggilnya kembali dan berkata kepadanya, “Satu-satunya perbuatan yang aku lakukan adalah perbuatan yang kamu perhatikan. Namun, satu-satunya tindakan lain (yang boleh menjadi sebab untukku menerima berita gembira Syurga) ialah aku tidak menyimpan kedengkian di dalam hatiku terhadap mana-mana Muslim, dan tidak juga aku memendam rasa cemburu di dalam hatiku atas apa-apa kurniaan yang Allah Ta’ala berikan kepada sesiapa pun.”
Mendengar ini, Saidina Abdullah bin Amr (radhiyallahu anhuma) berkata, “Ini adalah tindakan yang telah menyebabkanmu mencapai darjat yang tinggi ini yang telah kamu perolehi, dan ini adalah tindakan yang kami (manusia) tidak mampu laksanakannya dalam hidup kami.”(Musnad Ahmad #12697, Tareekh Dimashq 30/327, Musnadul Bazzaar #5836)