
حظي أربعة من الصحابة رضي الله عنهم بشرف كونهم مؤذني رسول الله صلى الله عليه وسلم. اثنان عينهما رسول الله صلى الله عليه وسلم مؤذنين بالمدينة المنورة: سيدنا بلال بن رباح وسيدنا عمرو بن أم مكتوم رضي الله عنهما، وعيّن رسول الله صلى الله عليه وسلم بقباء سعد القرظ رضي الله عنه، وعيّن رسول الله صلى الله عليه وسلم بمكة سيدنا أبا محذورة رضي الله عنه. (من زاد المعاد ١/١٢٠)
Seramai empat orang Sahabat (radiyallahu ‘anhum) mendapat keistimewaan dan kehormatan untuk menjadi muazzin kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam).
Saidina Bilal dan Saidina Ibn Ummi Maktum (radiyallahu ‘anhuma) telah dilantik oleh Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) untuk mengumandangkan azan di Madinah Munawwarah. Saidina Sa’d Al-Quraz (radiyallahu ‘anhu) pula dilantik oleh Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sebagai muazzin di Quba’, manakala Saidina Abu Mahzurah (radiyallahu ‘anhu) dilantik oleh Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sebagai muazzin di Makkah Mukarramah. (Zad al-Ma’ad 1/120)
Kemerdekaan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) dan Keinginan Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) agar Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) Dimerdekakan
Pada suatu ketika, semasa bercakap mengenai Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu), seorang Tabi’in, Sa‘id bin al-Musayyib (rahimahullah) berkata:
Keinginan untuk mengamalkan ajaran Islam adalah sangat besar di dalam hati Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu). Beliau sentiasa menjadi sasaran penyiksaan dan penganiayaan yang berterusan di tangan orang-orang kafir. Setiap kali orang-orang kafir cuba memaksa beliau untuk murtad meninggalkan Islam, beliau tetap bertegas menolak dan mengisytiharkan secara terbuka, “Allah! Allah!” (iaitu Allah adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah).
Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) kemudian bertemu dengan Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) dan menyuarakan keinginan baginda dengan bersabda, “Alangkah baiknya jika kita mempunyai sedikit harta yang boleh kita gunakan untuk membeli Bilal (dan memerdekakannya)!” Selepas itu, Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) pergi menemui Saidina ‘Abbas (radiyallahu ‘anhu) lalu berkata kepadanya, “Pergilah dan belikan Bilal untukku.”
Lantas, Saidina ‘Abbas (radiyallahu ‘anhu) pergi menemui tuan pemilik Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) yang merupakan seorang wanita, lalu berkata kepadanya, “Mahu tak kamu menjual hamba milikmu ini kepadaku sebelum (dia disiksa sehingga mati dan) kamu tidak akan mendapat apa-apa keuntungan daripadanya?”
Wanita tersebut berasa agak terkejut dengan tawaran itu lalu berseru, “Apa yang kamu mahu lakukan dengan hamba ini selepas membelinya?” Dia kemudian mula merungut tentangnya sambil berkata, “Sesungguhnya, tidak ada sebarang kebaikan pun padanya!” Walau bagaimanapun, Saidina ‘Abbas (radiyallahu ‘anhu) akhirnya berjaya membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) daripada wanita tersebut, lalu menyerahkannya kepada Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu). (Usd al-Ghabah 1/237)
Saidina Qays (rahimahullah) menceritakan bahawa Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) telah membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) melalui perantaraan Saidina ‘Abbas (radiyallahu ‘anhu) dengan harga lima uqiyah emas pada waktu beliau sedang disiksa dan dihimpit di bawah batu besar yang berat.
Orang-orang kafir berasa amat kecewa kerana Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) tetap teguh di atas agama Islamnya, sehinggakan mereka berkata kepada Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) kemudiannya selepas beliau membelinya, “Kami tetap akan menjualnya kepadamu walaupun engkau berkeras mahu membayar kami hanya satu uqiyah sahaja.”
Menjawab perkara tersebut, Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) terus memberikan maklum balas secara spontan dengan berkata, “Sebenarnya, jika kamu meminta daripadaku harga seratus uqiyah sekalipun untuknya, aku tetap akan membelinya daripada kamu semua dengan harga tersebut!” (Siyar A‘lam an-Nubala’ 3/219)
Selepas Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu), beliau pergi menemui Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan memaklumkan mengenai pembelian tersebut. Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) bertanya kepada Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) sekiranya beliau mahu menjadikan baginda sebagai rakan berkongsi dalam pemilikan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) dengan membenarkan baginda membeli bahagian pemilikan padanya. (Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) berhasrat untuk berkongsi dalam pemilikan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) supaya baginda juga mendapat bahagian ganjaran pahala apabila mereka memerdekakannya). Walau bagaimanapun, Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) menjawab bahawa beliau telah pun memerdekakan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu). (Siyar A‘lam an-Nubala’ 3/219)
Terdapat pelbagai nilai harga yang berbeza diriwayatkan mengenai kadar yang dibayar oleh Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) untuk membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu).
Ibn al-Athir (rahimahullah) telah menyebutkan tiga pandangan: (1) lima uqiyah, (2) tujuh uqiyah, dan (3) sembilan uqiyah. (Usd al-Ghabah 1/237)
Allamah Az-Zahabi (rahimahullah) telah memetik satu riwayat daripada Tabi’in Asy-Sya’bi (rahimahullah) yang menyebutkan bahawa Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) telah membayar sebanyak empat puluh uqiyah untuk membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu). (Siyar A‘lam an-Nubala’ 3/219)
Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (rahimahullah) pula menyebutkan bahawa Saidina Abu Bakr (radiyallahu ‘anhu) membeli Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) dengan memberikan salah seorang hambanya sebagai tukaran. (Al-Isabah 1/456)
Nota: Nilai satu uqiyah emas adalah bersamaan dengan 40 dirham.
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya