
لما أخبر سيدنا عبد الله بن مسعود رضي الله عنه بموت سيدنا أبي ذر رضي الله عنه، بكى بكاء طويلا وقال: أخي وخليلي، عاش وحده (في الربذة)، ومات وحده، ويبعث وحده (من الربذة)، طوبى له (البشارة بالجنة). (الاستيعاب ١/٢٥٣)
Apabila Sayyidina Abdullah bin Mas’ud (radhiyallahu ‘anhu) diberitahu mengenai kematian Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu), beliau menangis teresak-esak lalu berkata:
“Beliau (Abu Dzar) merupakan saudaraku dan sahabat rapatku. Beliau telah hidup bersendirian (di Rabzah) dan telah menemuinya (kematian) secara bersendirian, dan beliau akan dibangkitkan semula secara bersendirian (dari Rabzah). Berita gembira (berupa Syurga) buat beliau.” (Al-Isti’ab, 1/253)
Kematian Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu)
Apabila Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) menghampiri pengakhiran hayatnya, tiada sesiapa bersama beliau melainkan isteri dan hamba beliau. Beliau memberikan arahan kepada mereka dengan berkata, “Mandikanlah aku dan kafankanlah aku dengan kain kafan (iaitu selepas aku meninggal dunia). Kemudian bawalah jenazahku dan letakkannya di tepi jalan. Katakanlah kepada kafilah pertama yang lalu di situ, ‘Ini ialah Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu), sahabat Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Bantulah kami dan tolonglah kami untuk mengebumikan beliau.’”
Apabila beliau menghembuskan nafas yang terakhir, kedua-dua mereka melaksanakan apa yang telah diarahkan oleh beliau (iaitu memandikannya, meletakkan kain kafan ke atasnya, dan seterusnya meletakkan jenazah beliau di tepi jalan).
Kafilah pertama yang lalu di situ ialah kafilah Sayyidina Abdullah bin Mas’ud (radhiyallahu ‘anhu). Beliau berada dalam perjalanan menuju ke Makkah Mukarramah untuk menunaikan Umrah diiringi oleh beberapa orang dari Iraq.
Semasa mereka sedang lalu di situ, mereka terkejut apabila melihat sebatang tubuh terbaring di tepi jalan dan dikhuatiri bahawa unta-unta akan memijaknya. Pada ketika itu, hamba Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) tampil ke hadapan lalu berkata kepada orang ramai daripada kafilah tersebut, “Ini ialah jenazah Abu Dzar, sahabat Nabi (sallallahu alaihi wasallam). Bantulah kami untuk mengebumikan beliau.”
Sebaik sahaja mendengar perkara tersebut, Sayyidina Abdullah bin Mas’ud (radhiyallahu ‘anhu) mula menangis teresak-esak lalu berkata, “Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) telah berkata benar apabila baginda bersabda (pada peristiwa Perang Tabuk), ‘Wahai Abu Dzar! Engkau berjalan bersendirian (untuk menyertai kami dalam ekspedisi Tabuk), engkau akan menemuinya (kematian) secara bersendirian, dan engkau akan dibangkitkan semula secara bersendirian.’”
Mereka kemudiannya turun dari tunggangan unta mereka lalu menyempurnakan pengebumian beliau. (Tabaqat Ibn Sa’d, 4/177)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya