Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) Menyerupai Nabi Isa (‘alaihi wassalam)‎

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من أحب أن ينظر إلى المسيح عيسى ابن مريم إلى بره وصدقه وجده (اجتهاده في العبادة) فلينظر إلى أبي ذر (لأنه يملك من الصفات ما يجعله مشابها لسيدنا عيسى عليه السلام) (مجمع الزوائد، الرقم: ١٥٨١٧)

Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Barang siapa yang ingin melihat kepada Isa bin Maryam (‘alaihissalam) dari segi ketakwaannya, kejujurannya, dan kesungguhan ibadahnya, maka hendaklah dia melihat kepada Abu Dzar (kerana Abu Dzar memiliki sifat-sifat yang menyerupai Nabi Isa ‘alaihissalam).” (Majma’uz Zawa’id, #15817)

Sifat Zuhud Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) Terhadap Dunia

Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari (radhiyallahu ‘anhu) merupakan seorang Sahabat yang menyerupai Nabi Isa (‘alaihi wassalam) pada rupa paras fizikalnya mahupun sifat-sifatnya yang mulia.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Barang siapa yang ingin melihat kepada Isa bin Maryam (‘alaihissalam) dari segi ketakwaannya, kejujurannya, dan kesungguhan ibadahnya, maka hendaklah dia melihat kepada Abu Dzar.” (Majma’uz Zawa’id #15817)

Begitu juga, dalam Hadis yang lain, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Barang siapa yang ingin melihat kepada seseorang yang menyerupai Isa (‘alaihi wassalam) dari segi rupa paras fizikal dan sifat-sifatnya, maka hendaklah dia melihat kepada Abu Dzar.” (Majma’uz Zawa’id #15820)

Antara sifat-sifat mulia Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) yang paling menonjol ialah sifat zuhudnya terhadap dunia. Selepas memeluk Islam, beliau menghabiskan usianya dengan cara yang menyerupai para Anbiya (‘alaihimussalam) dalam menunjukkan ketidakminatan terhadap dunia. Seluruh tumpuan dan pengabdiannya dicurahkan ke arah Akhirat untuk meraih keredaan Allah Ta’ala.

Kesemua ini diperoleh menerusi keberkatan daripada keberadaannya dalam dampingan mulia Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), sedangkan sebelum memeluk Islam, kecintaannya terhadap harta dunia amat besar sehinggakan beliau pernah memintas kafilah-kafilah pedagang untuk memperoleh harta.

Diriwayatkan bahawa kecintaan terhadap harta telah keluar daripada hatinya disebabkan beliau mendengar amaran-amaran yang keras daripada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bagi orang-orang yang tidak memenuhi hak-hak harta yang telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada mereka. Begitu juga, disebabkan Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) menyaksikan kehidupan zuhud yang dijangkau oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), beliau lebih menyukai kehidupan yang sederhana dan zuhud terhadap dunia.

Pada suatu ketika, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) sedang duduk di bawah naungan Kaabah Sharif, apabila Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) masuk ke dalam Masjid. Pada waktu itu, beliau mendengar Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Demi Tuhan Pemilik Kaabah, mereka merupakan orang-orang yang sangat rugi (dan mereka diancam dengan neraka Jahannam)!” Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) mengulang amaran ini sebanyak dua kali.

Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) berasa sangat bimbang lalu berkata kepada dirinya sendiri, “Adakah sebarang ayat telah diturunkan berkenaan diriku (sehingga Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) menyebutkan perkara ini)?” Justeru, beliau pergi menemui Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) semasa Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) sedang bersabda, “Demi Tuhan Pemilik Kaabah, mereka merupakan orang-orang yang sangat rugi (dan mereka diancam dengan neraka Jahannam)!”

Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) bertanya, “Wahai Rasulullah! Demi ibu dan ayahku yang menjadi tebusan bagimu! Untuk siapakah amaran ini?” Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Ia adalah untuk orang-orang yang mengumpul harta, mereka merupakan orang-orang yang rugi (dan diancam dengan neraka Jahannam), melainkan orang dalam kalangan mereka yang menginfakkannya ke kanan, ke kiri, ke hadapan, dan ke belakang (iaitu menunaikan hak-hak harta tersebut).” (Sahih Bukhari #6638; Musnad Ahmad #21491; Fath al-Bari 11/298)

Dalam kata lain, orang-orang yang menunaikan hak-hak harta dengan memberikannya kepada orang-orang miskin menerusi zakat serta memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab lain yang berkaitan dengan harta (seperti memberi nafkah kepada keluarga, membayar hutang, dan sebagainya), maka bagi orang-orang sedemikian, harta tersebut tidak akan menjadi punca mereka dimasukkan ke dalam neraka dan diazab.

Begitu juga, pada peristiwa yang lain, Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) berada bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) di Madinah Munawwarah berhampiran Bukit Uhud. Ia merupakan waktu menghampiri Maghrib, apabila matahari hampir terbenam. Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda kepadanya, “Wahai Abu Dzar! Bukit Uhud yang berada di hadapan kita ini – sekiranya Allah Ta’ala mengubah bukit ini menjadi emas untukku, aku tidak berhasrat untuk menyimpan emas tersebut dalam milikanku walau untuk tiga malam sekalipun, sehinggalah aku menginfakkan kesemuanya sebagai sedekah kepada orang-orang miskin, selain menyimpannya sekadar satu dinar untuk membayar hutang yang aku tanggung terhadap pemiutang.” (Sahih Bukhari #6444)

Disebabkan Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari (radhiyallahu ‘anhu) menyaksikan kehidupan kesederhanaan dan kezuhudan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) terhadap dunia, serta mendengar amaran-amaran keras bagi orang-orang yang memiliki harta tetapi tidak menunaikan hak-hak harta dan hak-hak yang wajib ditunaikan kepada orang lain pada harta tersebut, maka timbul rasa benci dan tidak menyukai dunia dalam diri Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) sehinggakan beliau tidak menyimpan harta dan tidak suka melihat orang lain menyimpan harta yang berlebihan.

Semak juga

Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) Bersaksi Atas Kejujuran Saidina Abu Zar ‎‎(radhiyallahu ‘anhu)‎

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما أظلت الخضراء (أي: السماء) ولا أقلت الغبراء …