
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للصحابة رضي الله عنهم: إن الله أمرني بحب أربعة وأخبرني أنه يحبهم، قيل: يا رسول الله سمّهم لنا
فقال صلى الله عليه وسلم: علي منهم يقول ذلك ثلاثا وأبو ذر والمقداد وسلمان أمرني بحبهم وأخبرني أنه يحبهم (سنن الترمذي، الرقم: ٣٧١٨)
Pada suatu ketika, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda kepada para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum), “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memerintahkanku untuk mencintai empat orang, dan Dia telah memaklumkan kepadaku bahawa Dia mencintai mereka.” Para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum) bertanya kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) siapakah mereka itu.
Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda sebanyak tiga kali, “Ali adalah salah seorang daripada mereka.” Seterusnya, baginda bersabda, “(Tiga yang lain ialah) Abu Dzar, Miqdad (bin ‘Amr) dan Salman (al-Farisi).” (Tirmidzi, #3718)
Ma’rur bin Suwaid (rahimahullah) meriwayatkan seperti berikut
Kami pernah lalu berhampiran Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) di Rabzah dan mendapati bahawa beliau memakai dua helai pakaian yang tidak sepadan. Sehelai pakaian lama, manakala sehelai lagi pakaian baharu, dan hamba beliannya juga memakai dua helai pakaian yang tidak sepadan, yang mana sehelai pakaian baharu dan sehelai lagi pakaian lama.
Lalu kami berkata kepada Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu), “Wahai Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu)! Sekiranya engkau memakai kedua-dua helai pakaian baharu tersebut (dengan memberikan kain lamamu yang sedang engkau pakai kepada hambamu dan mengambil kain baharu daripadanya), maka pakaian tersebut akan menjadi sepasang pakaian baharu yang sepadan.”
Sebagai jawapan, Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) menjelaskan sebab beliau melayan hambanya dengan cara sedemikian, yang mana beliau menyamakan kedudukan hambanya dengan dirinya sendiri lalu berkata:
Pada suatu ketika, telah berlaku pertengkaran antara diriku dengan Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu). Semasa pertengkaran tersebut, aku telah menghinanya berkenaan ibunya. Aku berkata kepadanya, “Engkau ialah anak kepada seorang wanita hitam.” Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) berasa tersinggung dengan perkara tersebut lalu beliau mengadu kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) berkenaan apa yang telah aku katakan kepadanya.
Apabila aku kemudiannya menemui Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), baginda bersabda kepadaku, “Wahai Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu)! Engkau ialah seorang lelaki yang masih mempunyai sifat-sifat Jahiliah (keangkuhan) dalam dirimu.” Aku berasa terkejut lalu berkata kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), “Adakah benar bahawa aku masih mempunyai sifat-sifat Jahiliah (keangkuhan) dalam diriku?”
Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Ya, engkau masih mempunyai sifat-sifat Jahiliah (keangkuhan) dalam dirimu (kerana engkau menyangka dirimu lebih baik daripada Bilal).”
Apabila Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) mendengar hal ini daripada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), beliau sangat terkesan sehingga beliau berbaring di atas tanah lalu berkata, “Aku tidak akan bangun sehinggalah Bilal meletakkan kakinya di atas pipiku sebagai penebus dosa atas apa yang telah aku katakan kepadanya.” Hanyasanya selepas Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) meletakkan kakinya di atas pipi Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu), barulah beliau berasa puas hati lalu bangun.
Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) kemudiannya menasihati Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) dengan penuh kasih sayang berkenaan bagaimana beliau sepatutnya melayan hamba-hamba belian. Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Mereka ialah saudara-saudaramu dan hamba-hambamu yang telah diletakkan oleh Allah Ta’ala di bawah kawalanmu. Oleh itu, hendaklah kamu memberi mereka makan daripada makanan yang kamu makan, memberi mereka pakaian daripada pakaian yang kamu pakai, dan janganlah kamu membebankan mereka dengan apa yang tidak mampu mereka lakukan. Sekiranya kamu membebankan mereka dengan tugasan yang sukar, maka pastikan kamu membantu mereka (untuk menyelesaikannya).”
Disebabkan nasihat Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) inilah yang dimasukkan oleh Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) ke dalam hatinya, maka sepanjang hayatnya, beliau melayan hamba-hambanya dengan cara sedemikian.
(Sahih Muslim, #1661; Sahih Bukhari, #30; Fath al-Bari, 1/106; Ibn Sa’d, 4/179)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya