Solat Wanita – 8

Qa’dah dan Salam

1. Selepas sujud kedua pada rakaat kedua, duduk dalam posisi _tawarruk_ iaitu duduk di atas punggung kiri dan keluarkan kaki kiri dari bawah betis kaki kanan. Tegakkan kaki kanan dengan jari-jari menghadap kiblat.

Nota: Duduk tawarruk hanya untuk solat yang ada satu qa’dah (tahiyyat) sahaja iaitu solat 2 rakaat, dan untuk qa’dah (tahiyyat) akhir solat 4 rakaat. Manakala untuk qa’dah (tahiyyat) awal solat yang mempunyai 3 atau 4 rakaat, duduk dalam posisi iftirash iaitu tegakkan kaki kanan dengan jari menghadap kiblat dan duduk di atas kaki kiri yang di baringkan ke lantai.

2. Ketika duduk tasyahhud, rapatkan tiga jari tangan kanan iaitu jari tengah dan dua jari di sebelahnya. Jari telunjuk dan ibu jari dibiarkan terbuka, tetapi ibu jari disandarkan ke sisi jari telunjuk. Untuk tangan kiri, biarkan jari-jari terbuka di atas peha. Jari dibiarkan dalam keadaan semula jadi dan tidak dirapatkan.

3. Baca tasyahhud:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ سَلَامٌ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اللهِ

Segala ucapan, perbuatan dan harta yang diberkati itu hanya untuk Allah Ta’ala. Semoga kesejahteraan Allah Ta’ala yang khusus turun ke atasmu wahai Nabi, dan semoga rahmat serta keberkatan Allah Ta’ala juga turun ke atasmu. Semoga kesejahteraan turun ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Saidina Muhammad ialah utusan Allah.

4. Ketika menyebut “illallah”, angkat jari telunjuk ke arah kiblat dan kekalkan ia terangkat sehingga akhir qa’dah (tahiyyat). Ketika mengangkat jari telunjuk, tumpukan pandangan pada jari tersebut sehingga selesai solat.

5. Jika kamu solat 3 atau 4 rakaat, selepas membaca tasyahhud pada qa’dah (tahiyyat) awal , baca juga selawat ke atas Nabi (sallallahu alaihi wasallam). Kemudian bangun untuk rakaat ketiga. Jangan berdoa selepas membaca selawat ke atas Nabi.

6. Ketika bangun untuk rakaat ketiga, ambil sokongan dengan meletakkan kedua-dua tangan di atas lantai. Begitu juga ketika bangun untuk rakaat keempat.

7. Jika ianya adalah qa’dah (tahiyyat ) akhir, baca tasyahhud, Selawat Ibrahimiyyah, dan selepas itu berdoa.

Selawat Ibrahimiyyah adalah seperti berikut:

اللهم صَلِّ على محمد وعلى آل محمد كما صليتَ على إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وبارِكْ على محمد وعلى آلِ مُحَمَّدٍ كما باركتَ على إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إنك حَمِيدٌ مجِيدٌ

Ya Allah, kurniakanlah rahmat yang khusus kepada junjungan kami Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau kurniakan rahmat kepada junjungan kami Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah junjungan kami Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau berkati junjungan kami Ibrahim dan keluarga Ibrahim di seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji, Maha Mulia.

Boleh juga baca doa yang diriwayatkan dalam Hadis.

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِّنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِيْ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيمِ

Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang.

8. Selepas selesai berdoa, beri salam dengan mengucapkan: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله sambil memalingkan kepala ke kanan, kemudian ke kiri sekali lagi.

9. Jangan tundukkan atau sentakkan kepala ketika memberi salam.

10. Palingkan muka ke kedua-dua belah sehingga pipi dapat dilihat dari belakang.

11. Selepas salam, ucap istighfar tiga kali.

12. Berdoa (kerana ini adalah waktu mustajab doa.)

13. Baca Tasbih Fatimah selepas setiap solat.

Tasbih Fatimah ialah membaca 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah, 33 kali Allahu Akbar, dan sempurnakan 100 dengan membaca:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِير

Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nyalah kerajaan seluruh alam, dan bagi-Nyalah segala puji, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Semak juga

Solat Wanita – 4

Ruku’ dan I’tidaal 1. Apabila selesai membaca Surah al-Faatihah dan surah lain, berhenti sebentar, kemudian, …