
قال سيدنا علي رضي الله عنه عن سيدنا أبي ذر رضي الله عنه: وعى علما عجز فيه (عجز الناس عنه) (طبقات ابن سعد ٢/٣٥٤)
Sayyidina Ali (radhiyallahu ‘anhu) berkata mengenai Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu), “Beliau telah mencapai tahap ilmu pengetahuan yang tidak mampu dicapai oleh orang lain.” (Tabaqat Ibn Sa’d 2/354)
Teguran Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) Terhadap Pembantunya
Pada suatu hari, seorang lelaki dari kabilah Banu Sulaim datang menemui Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) lalu berkata kepada beliau, “Aku ingin tinggal bersamamu untuk mengambil manfaat daripada ilmu pengetahuanmu tentang perintah-perintah Allah Ta’ala dan sunnah-sunnah Nabi (sallallahu alaihi wasallam). Aku juga akan membantu pembantumu dalam menjaga unta-unta.”
Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) menjawab, “Aku tidak dapat menerima seseorang untuk tinggal bersamaku sekiranya dia tidak mendengar kata-kataku. Namun jika engkau sentiasa melakukan apa sahaja yang aku arahkan, maka engkau boleh tinggal bersamaku, jika tidak, engkau tidak boleh tinggal bersamaku.”
Lelaki itu bertanya, “Dalam perkara apakah engkau mahu aku mentaatimu?”
Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) menjawab, “Apabila aku menyuruhmu untuk menginfakkan harta bendaku, engkau mestilah menginfakkan yang terbaik daripadanya.”
Lelaki itu menceritakan: “Aku menerima syarat Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) dan tinggal bersamanya.
Pada suatu hari, seseorang memberitahu Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) bahawa terdapat beberapa orang fakir yang berkhemah berhampiran mata air yang berdekatan dan mereka memerlukan makanan. Beliau (Abu Dzar) lalu meminta aku mengambil seekor unta. Aku pergi dan berniat untuk memilih unta yang paling baik daripada kumpulan unta tersebut, seperti yang telah aku janjikan. Unta itu merupakan seekor haiwan yang sangat jinak dan taat, serta amat baik untuk ditunggang, jadi aku memutuskan untuk meninggalkannya dan memilih unta yang kedua terbaik. Lagipun, ia hanya akan disembelih dan dimakan, dan untuk tujuan itu, ia adalah sama baiknya dengan unta yang satu lagi. Unta yang satu lagi itu sangat baik untuk ditunggang dan lebih banyak kegunaannya kepada Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) serta keluarganya, manakala orang-orang miskin akan mendapati daging unta yang kedua ini sama sedapnya dengan yang lain. Oleh itu, aku membawa unta yang kedua baik kepada Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu).
Beliau menegurku dengan berkata, ‘Engkau telah memungkiri janjimu!’ Kerana amat memahami maksudnya, aku pun kembali dan mengambil unta yang paling baik sebagai gantinya.
Beliau (Abu Dzar) kemudiannya meminta orang ramai di sekelilingnya, ‘Aku mahu dua orang untuk melaksanakan satu tugasan kerana Allah Ta’ala.’
Dua orang lelaki datang ke hadapan. Beliau meminta mereka pergi menyembelih unta tersebut dan membahagikan dagingnya secara sama rata di kalangan keluarga-keluarga yang berkhemah berhampiran punca air, termasuk keluarganya sendiri, sambil berkata, ‘Keluargaku juga akan berkongsi secara sama rata dengan orang-orang lain dalam pembahagian ini.’ Kedua-dua orang itu melaksanakan arahan beliau.
Selepas pembahagian daging selesai, beliau memanggilku lalu berkata kepadaku, ‘Adakah engkau sengaja mengabaikan arahanku apabila aku menyuruhmu menginfakkan sebaik-baik hartaku, atau adakah engkau lupa akan arahanku? Dengan itu, aku akan memaafkan kesilapanmu.’
Aku menjawab, ‘Aku tidak lupa akan arahanmu, tetapi aku berfikir bahawa adalah lebih baik meninggalkan unta yang terbaik untuk engkau tunggangi, manakala yang sebelah lagi adalah sama baik untuk dimakan.’
Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) bertanya, ‘Adakah ia semata-mata untuk keperluan peribadiku sehingga engkau meninggalkannya?’ Aku menjawab, ‘Ya.’
Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) kemudiannya menasihatiku: ‘Mari; biarkan aku memberitahu engkau tentang masa ketika aku amat berhajat. Iaitu pada hari ketika aku ditinggalkan seorang diri di dalam kegelapan kubur. Ketahuilah, terdapat tiga rakan kongsi pada hartamu:
Pertama, takdirmu, yang tidak menunggu untuk mengambil bahagiannya. Ia akan mengambil segala apa yang telah ditetapkan untuk diambilnya, tidak kira sama ada harta itu baik atau buruk. Ia akan mengambil semua yang mesti diambilnya.
Kedua, waris-waris kamu yang sangat menanti-nantikan kematianmu, agar mereka dapat mengambil bahagian mereka.
Ketiga, dirimu sendiri. Jika engkau mampu menguruskannya, janganlah menjadi orang yang paling lemah dalam kalangan ketiga-tiga rakan kongsi ini. Ambil bahagianmu yang sepenuhnya, selagi engkau mampu.
Allah Ta’ala berfirman:
لَنۡ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰی تُنۡفِقُوۡا مِمَّا تُحِبُّوۡنَ
“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu cintai.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)
Oleh itu, aku berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk menghantar perkara-perkara yang aku cintai terlebih dahulu (ke Akhirat), agar ia disimpan dengan selamat untukku di sana.’” (Ad-Durr al-Manthur 2/261)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya