Perasaan Takut Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) Terhadap Hisab di Hadapan ‎Allah Ta‘ala

قال سيدنا أبو ذر رضي الله عنه من شدة خشية المحاسبة بين يدي الله: والله لوددت أن الله عز وجل خلقني يوم خلقني شجرة تعضد ويؤكل ثمرها (فلا أحاسب على أعمالي بين يدي الله عزّ وجلّ) (حلية الأولياء ١/١٦٢)

Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) pernah menyatakan kata-kata berikut kerana didorong oleh rasa takut terhadap hisab di Akhirat:

“Demi Allah, alangkah baiknya sekiranya pada hari Allah Ta‘ala menciptakanku – Dia menciptakanku sebagai sebatang pokok yang boleh ditebang dan buahnya dimakan (dengan cara itu, aku tidak perlu dihisab atas amal perbuatanku di hadapan Allah Ta‘ala).” (Hilyat al-Awliya, 1/164)

Penghormatan Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) yang Sangat Tinggi Terhadap Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu)

Seorang lelaki daripada kabilah Banu Sulaim menceritakan perkara berikut:

“Aku pernah duduk di dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Abu Dzar. Fikiran aku terdetik bahawa mungkin Abu Dzar berasa kecil hati terhadap Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu) disebabkan Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu) meminta beliau meninggalkan Madinah Munawwarah dan menetap di Rabzah.

Semasa majlis tersebut berlangsung, seseorang telah mengeluarkan satu kenyataan negatif terhadap Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu). Apabila Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‘anhu) mendengar kenyataan negatif orang tersebut berkenaan Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu), beliau segera memberikan maklum balas lalu berkata:

‘Janganlah engkau mengatakan apa-apa jua berkenaan Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu) melainkan kebaikan, kerana aku bersaksi bahawa aku pernah hadir pada suatu ketika di mana aku menyaksikan sesuatu yang istimewa berlaku ke atas Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu) yang tidak akan pernah aku lupakan.

Pada suatu masa, aku memohon kebenaran untuk berada bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) secara bersendirian agar aku dapat mengambil manfaat daripada baginda dan mendengar nasihat yang akan baginda berikan kepadaku.

Selepas berada bersendirian bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) buat beberapa ketika, Sayyidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu) masuk berjumpa dengan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), diikuti oleh Sayyidina Umar (radhiyallahu ‘anhu), dan kemudian Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu). Mereka semua datang menemui Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) seorang demi seorang dengan sela masa yang singkat antara satu sama lain.

Semasa kami semua berada bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), baginda mengambil beberapa biji batu kerikil ke dalam tangan baginda yang mulia, lalu batu-batu kerikil tersebut mula bertasbih di dalam tangan baginda yang berkat. Tasbih batu-batu kerikil tersebut tersangat jelas kedengaran kepada kami sehingga ia kedengaran seperti dengungan lebah. Baginda kemudiannya menyerahkan batu-batu kerikil tersebut kepada Sayyidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu), dan ia terus bertasbih di dalam tangan beliau. Apabila baginda meletakkannya di atas tanah, batu-batu tersebut mendiamkan diri.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) kemudiannya menyerahkan batu-batu tersebut kepada Sayyidina Umar (radhiyallahu ‘anhu), dan ia juga mula bertasbih di dalam tangan beliau. Selepas itu, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) mengambilnya kembali daripada Sayyidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) dan meletakkannya di atas tanah, lalu batu-batu tersebut mendiamkan diri.

Seterusnya, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) menyerahkan batu-batu kerikil tersebut kepada Sayyidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu), dan ia turut mula bertasbih di dalam tangan beliau. Baginda kemudiannya mengambilnya kembali daripada beliau dan meletakkannya di atas tanah, yang mana selepas itu batu-batu tersebut mendiamkan diri.’ ” (Siyar A’lam an-Nubala’ 2/453)

Semak juga

Doa Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) untuk Sayyidina Abu Dzar (radhiyallahu ‎‎‘anhu)‎

دعا رسول الله صلى الله عليه وسلم بمناسبة غزوة تبوك لسيدنا أبي ذر رضي الله …