اَرَءَيْتَ الَّذِیۡ یُکَذِّبُ بِالدِّيْنِ ؕ﴿۱﴾ فَذٰلِك الَّذِیۡ یَدُعُّ الۡیَتِيْمَ ۙ﴿۲﴾ وَ لَا یَحُضُّ عَلٰی طَعَامِ الۡمِسکِيْنِ ؕ﴿۳﴾ فَوَيْلٌ لِّلۡمُصَلِّيْنَ ۙ﴿۴﴾ الَّذِيْنَ هُمۡ عَنْ صَلَاتِهِمۡ سَاهُوۡنَ ۙ﴿۵﴾ الَّذِيْنَ هُمۡ یُرَآءُوۡنَ ۙ﴿۶﴾ وَیَمْنَعُوۡنَ الۡمَاععُوۡنَ ٪﴿۷﴾
1. Tahukah engkau akan orang yang mendustakan Hari Pembalasan? 2. Maka itulah orang yang menghardik (dan berpaling daripada) anak yatim, 3. dan dia tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin. 4. Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat, 5. (iaitu) mereka yang lalai daripada solatnya. 6. Orang-orang yang (berbuat baik hanya untuk) menunjuk-nunjuk (riya’), 7. dan mereka enggan memberi (atau meminjamkan) barang-barang asas yang kecil (yang diperlukan oleh manusia).
Iman kepada Hari Pembalasan
اَرَءَيْتَ الَّذِیۡ یُکَذِّبُ بِالدِّيْنِ ؕ﴿۱﴾ فَذٰلِك الَّذِیۡ یَدُعُّ الۡیَتِيْمَ ۙ﴿۲﴾ وَ لَا یَحُضُّ عَلٰی طَعَامِ الۡمِسکِيْنِ ؕ﴿۳﴾
Tahukah engkau akan orang yang mendustakan Hari Pembalasan? Maka itulah orang yang menghardik (dan berpaling daripada) anak yatim, dan dia tidak menggalakkan memberi makan kepada orang miskin.
Perkataan ‘din’ mempunyai pelbagai makna. Satu maknanya ialah agama Islam. Makna kedua ialah pembalasan (hisab). Oleh itu, ayat ini boleh merujuk kepada orang kafir yang menolak agama Islam atau Hari Pembalasan.
Menurut sebahagian riwayat, ayat-ayat permulaan ini diturunkan berkenaan seorang kafir, al-‘As bin Wa’il, yang terkenal dengan sifat kebakhilannya. Walau bagaimanapun, surah ini tidak terhad kepadanya sahaja, sebaliknya mesej surah ini adalah bersifat umum dan turut terpakai kepada umat Islam.[1]
Justeru, orang-orang beriman juga hendaklah mengambil iktibar daripada surah ini dan menjauhi perbuatan seperti menghardik anak-anak yatim atau enggan memberi makan kepada orang-orang miskin.
Perbezaan yang jelas antara seorang beriman dan seorang kafir ialah keimanan kepada Hari Pembalasan serta rasa takut terhadap dihisab di Akhirat. Seorang kafir tidak beriman kepada Hari Pembalasan, lalu dia tidak takut akan dihisab di Akhirat.
Walau bagaimanapun, sejauh yang berkaitan dengan seorang beriman yang sejati, maka pada setiap saat, dia sentiasa sedar bahawa Allah Ta’ala sedang memerhatikannya dan dia perlu dihisab atas segala amal perbuatannya, sama ada kecil mahupun besar, pada Hari Kiamat.
Menunjukkan Kebaikan kepada Anak-anak Yatim, Orang Fakir, dan Orang Miskin
Memandangkan seorang kafir tidak beriman kepada Allah Ta’ala dan tidak takut akan perhitungan pada Hari Kiamat, dia menganggap dirinya berada dalam kedudukan yang kuat. Dia tidak mengambil berat tentang anak yatim, orang fakir, dan orang miskin, sebaliknya dia terus terobsesi dengan harta dan kekuasaan yang dimilikinya, lalu lupa bahawa keadaan boleh berubah pada masa hadapan, dan Allah Ta’ala mungkin mencurahkan keberkatan harta kepada mereka serta menarik balik harta yang dimilikinya.
Dalam kata lain, orang kaya pada hari ini boleh menjadi orang miskin pada hari esok, dan orang miskin pada hari ini boleh menjadi orang kaya pada hari esok.
Oleh itu, dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala menarik perhatian kita terhadap perbuatan-perbuatan yang salah ini, iaitu mendustakan Hari Pembalasan, menghardik anak yatim, dan enggan memberi makan kepada orang miskin, serta menggalakkan orang-orang beriman untuk menunjukkan kebaikan kepada anak-anak yatim, orang fakir, dan orang miskin.
Peringatan bagi Orang-orang yang Melalaikan Solat
فَوَيْلٌ لِّلۡمُصَلِّيْنَ ۙ﴿۴﴾ الَّذِيْنَ هُمۡ عَنْ صَلَاتِهِمۡ سَاهُوۡنَ ۙ﴿۵﴾ الَّذِيْنَ هُمۡ یُرَآءُوۡنَ ۙ﴿۶﴾ وَیَمْنَعُوۡنَ الۡمَاععُوۡنَ ﴿۷﴾
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat, (iaitu) mereka yang lalai daripada solatnya. Orang-orang yang (berbuat baik hanya untuk) menunjuk-nunjuk (riya’), dan mereka enggan memberi (atau meminjamkan) barang-barang asas yang kecil (yang diperlukan oleh manusia).
Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala berfirman berkenaan orang-orang beriman yang melalaikan solat mereka dan yang bakhil terhadap manusia. Apabila mereka berdiri untuk menunaikan solat, mereka tidak menunaikan solat dengan penuh keikhlasan. Sebaliknya, mereka menunaikan solat semata-mata untuk menunjuk-nunjuk (riya’) agar manusia menganggap mereka sebagai orang-orang Muslim yang soleh.
Oleh itu, apabila mereka tidak berada di hadapan manusia, sama ada mereka tidak menunaikan solat mereka, atau mereka menunaikan solat selepas waktunya sebagai qadha, atau mereka tidak menunaikan solat sebagaimana yang sepatutnya ditunaikan, iaitu dengan rukun dan iktidal yang betul, pada waktu yang betul, secara berjemaah di masjid, dan sebagainya. Justeru, pada hakikatnya, mereka tidak mempunyai rasa cinta dan keutamaan yang sebenar terhadap solat di dalam hati mereka.
Peringatan bagi Orang-orang yang Bakhil
Begitu juga, mereka bersifat bakhil dan enggan memberikan bantuan kepada manusia walaupun dengan barang-barang asas yang kecil yang diperlukan oleh manusia.
Perkataan yang digunakan dalam ayat ini ialah “ma’un”, yang secara harfiah bermaksud ‘barang-barang yang kecil dan murah’, seperti periuk, bekas, garam, gula, dan sebagainya. Sekiranya seseorang memerlukan barang sedemikian, maka orang yang mempunyai barang-barang tersebut hendaklah membantunya dan meminjamkannya kepadanya.
Perkataan ma’un juga boleh merujuk kepada zakat. Dalam kata lain, ayat ini merujuk kepada orang-orang yang diwajibkan ke atas mereka zakat, tetapi mereka enggan menunaikan zakat yang wajib tersebut.
Tafsir ini telah diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu), Sayyidina Ali (radhiyallahu ‘anhu), dan para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum) yang lain yang menyebutkan bahawa perkataan ma’un dalam ayat ini merujuk kepada zakat, kerana ia wajib dibayar dalam nisbah yang kecil berbanding keseluruhan jumlah harta seseorang.[2]
Pada hakikatnya, ayat-ayat ini menjelaskan piawaian yang mana seseorang itu dinilai di sisi Allah Ta’ala. Seseorang itu hendaklah pada setiap masa mengambil berat tentang hubungannya dengan Allah Ta’ala meletakkan keutamaan dalam menjaga perintah-perintah agama Allah Ta’ala seperti mendirikan solat dalam kehidupannya, menunaikan zakat, dan sebagainya.
Begitu juga, dia hendaklah mengambil berat tentang memenuhi hak-hak yang wajib ditunaikannya kepada manusia dan menunjukkan kebaikan kepada keluarganya, jiran tetangga, rakan-rakan, anak-anak yatim, orang-orang fakir, dan orang-orang miskin.
Sekiranya seseorang menjadi bakhil, maka dia tidak akan memenuhi hak Allah Ta’ala pada hartanya dengan mengeluarkan zakat, dan tidak akan memenuhi hak-hak yang wajib ditunaikannya kepada hamba-hamba Allah Ta’ala dengan memenuhi hak-hak yang wajib ditunaikannya kepada saudara-maranya yang miskin, jiran tetangga, dan sebagainya.
Rahmah dan Sifat Kasih Sayang Menurut Islam
Pada suatu ketika, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) berada dalam suatu perjalanan apabila baginda memerintahkan agar sesiapa yang mempunyai tunggangan yang berlebihan hendaklah membantu orang yang tidak mempunyai tunggangan.
Sayyidina Abu Sa’id (radhiyallahu ‘anhu) meriwayatkan:
Pada suatu ketika, kami berada dalam suatu perjalanan bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) apabila tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang seekor haiwan tunggangan datang ke hadapan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Lelaki tersebut berada dalam kesusahan serta kesempitan dan dia melihat ke kanan dan ke kiri untuk melihat sekiranya ada sesiapa yang boleh membantunya dalam memenuhi keperluannya.
Pada ketika itu, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) memberikan dorongan kepada para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum) dengan bersabda, “Barang siapa yang mempunyai tunggangan yang berlebihan hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai sebarang tunggangan. Barang siapa yang mempunyai bekalan (makanan/peralatan) yang berlebihan bersamanya hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan.”
Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) terus sebutkan pelbagai jenis harta (yang sepatutnya diinfakkan oleh seseorang sebagai sedekah), sambil menggalakkan dan mendorong para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum) untuk menginfakkannya, sehinggakan kami berasa seolah-olah orang yang memiliki sesuatu yang melebihi keperluannya tidak mempunyai hak untuk menyimpannya (sebaliknya, dia hendaklah mengongsikannya dengan orang-orang yang memerlukan).[3]
Daripada Hadis ini, kita memahami bahawa keadaan seorang beriman itu adalah dia tidak bersikap mementingkan diri sendiri dan berpusat kepada diri sendiri (self-centred), serta hanya mengambil berat tentang kemajuan material dirinya dan keluarga terdekatnya sahaja. Sebaliknya, dia mengambil berat tentang umat Islam secara keseluruhannya dan sentiasa mencari peluang untuk membantu orang ramai.
Justeru, orang yang sedemikian sentiasa bersedia untuk membantu orang di sekelilingnya dan menunjukkan kebaikan kepada sesiapa sahaja, sama ada keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan, mahupun orang-orang fakir dan miskin.
[1] التفسير المظهري 10/349
[2] التفسير الكبير 32/305
[3] صحيح مسلم، الرقم: ١٧٢٨
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya