أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ ﴿١﴾ أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ ﴿٢﴾ وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ ﴿٣﴾ تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ ﴿٤﴾ فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ ﴿٥﴾
1. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera yang bergajah? 2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan perancangan jahat mereka itu sia-sia dan binasa? 3. Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka kawanan burung yang berpasukan, 4. Yang melontar mereka dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar? 5. Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun kayu yang dimakan (dan dihancurkan).
Tentera Bergajah
Peristiwa tentera bergajah yang disebutkan di dalam surah ini merujuk kepada peristiwa Abrahah yang telah berarak membawa tentera bersama gajah-gajah ke Makkah Mukarramah dengan niat jahat untuk meruntuhkan Kaabah Syarif. Dalam surah ini, Allah (subhanahu wa ta’ala) menerangkan bagaimana Dia telah membinasakan Abrahah dan tentera bergajahnya yang gagah perkasa hanya dengan menggunakan kawanan burung-burung kecil.
Peristiwa ini berlaku pada bulan Muharram, kira-kira lima puluh lima hari sebelum kelahiran Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang diberkati.[1]
Satu surah penuh dalam Al-Quran yang mulia telah dikhususkan bagi menceritakan peristiwa ini, yang mana perinciannya telah direkodkan dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis, dan Sirah.
Peristiwa tentera bergajah ini pada hakikatnya merupakan satu perisytiharan ilahi dan tanda isyarat halus yang menunjukkan kepada kedatangan penutup sekalian nabi, iaitu utusan terakhir, Saidina Muhammad (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang semakin hampir.
Perlindungan ilahi yang dikurniakan kepada kaum Quraisy pada ketika itu adalah semata-mata kerana utusan terakhir yang bakal menjejakkan kaki ke bumi ini akan lahir daripada keturunan kaum tersebut (kaum Quraisy).
Jika tidak disebabkan perkara tersebut, dari segi pegangan agama, Pemerintah Abyssinia (Habsyah) dan Yaman adalah lebih baik berbanding kaum Quraisy di Makkah Mukarramah, kerana mereka merupakan Ahli Kitab, manakala kaum Quraisy pada waktu itu merupakan penyembah berhala.[2]
[1] البداية والنهاية 2/262
[2] شرح الزرقاني 1/167
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya