كان سيدنا بلال رضي الله عنه يدعو كل يوم لهداية قريش (قبيلة رسول الله صلى الله عليه وسلم) قبل أن يؤذّن لصلاة الفجر: اللهم إني أحمدك وأستعينك على قريش أن يقيموا دينك (من سنن أبي داود، الرقم: ٥١٩)
Sayyidina Bilal (radhiyallahu anhu) sentiasa berdoa setiap hari memohon hidayah untuk kaum Quraisy (kaum keluarga Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam)) sebelum melaungkan azan Subuh.
Beliau berdoa: “Ya Allah, aku memuji-Mu dan aku memohon pertolongan-Mu (serta merayu kepada-Mu) agar mengurniakan hidayah Islam kepada kaum Quraisy supaya mereka dapat menegakkan dan memelihara Agama-Mu (di dunia ini).” (Sunan Abi Daud #519)
Doa Sayyidina Bilal (radhiyallahu anhu) untuk Hidayah Kaum Quraisy
Sayyidina ‘Urwah bin Zubair radhiyallahu anhuma) meriwayatkan bahawa seorang wanita daripada bani Najjar (iaitu Sayyidatina Nawwar binti Malik, ibu kepada Sayyidina Zaid bin Thabit (radhiyallahu anhu) berkata, “Rumahku terletak di tempat yang tinggi dan merupakan antara rumah yang tertinggi di sekitar Masjid (iaitu Masjid Nabawi).
“Sayyidina Bilal (radhiyallahu anhu) melaungkan azan Subuh dari atas bumbung rumahku supaya suaranya dapat mencapai jarak yang jauh. Beliau akan sampai pada waktu sahur dan duduk di atas bumbung rumahku sambil melihat ke arah ufuk (menantikan masuknya waktu Subuh).
“Apabila beliau melihat waktu Subuh telah masuk, beliau akan berdiri dan merenggangkan badannya (kerana telah duduk agak lama). Beliau kemudian akan membaca doa berikut: ‘Ya Allah, aku memuji-Mu (kerana mengizinkanku melaungkan azan) dan aku memohon pertolongan-Mu (serta merayu kepada-Mu) agar mengurniakan hidayah Islam kepada kaum Quraisy (iaitu kaum keluarga Rasulullah ﷺ) supaya mereka dapat menegakkan dan memelihara Agama-Mu (di dunia ini).’ Selepas itu, barulah beliau melaungkan azan.”
Beliau (wanita itu) seterusnya menyebutkan, “Demi Allah Taala, aku tidak ingat beliau (Sayyidina Bilal [radhiyallahu anhu]) pernah meninggalkan doa ini walaupun untuk satu malam (iaitu doanya untuk hidayah kaum Quraisy).” (Sunan Abi Daud #519)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya