Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:
هذان سيدا كهول أهل الجنة من الأولين والآخرين إلا النبيين والمرسلين. (سنن الترمذي، الرقم: ٣٦٦٤، وقال: هذا حديث حسن غريب من هذا الوجه)
“Kedua-dua orang sahabat ini (merujuk kepada Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar (radhiallahu anhuma)) akan menjadi penghulu orang-orang pertengahan umur di syurga, sesiapa yang datang sebelum mereka dan yang datang selepas mereka di dunia, kecuali semua para Nabi dan Rasul (alaihimus salam).” (Sunan Tirmizi #3664)
Keinginan Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) untuk dikebumikan bersama Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)
Pada saat-saat akhir selepas Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) ditikam maut, dia menghantar anaknya, Saidina Abdullah bin Umar (radhiyallahu ‘anhuma), ke rumah Saidatina Aaishah (radhiyallahu ‘anha).
Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) berpesan kepadanya, “Katakanlah kepadanya bahawa Umar menyampaikan salam. Jangan katakan Amirul Mukminin mengirim salam, kerana hari ini aku bukan lagi Amirul Mukminin (kerana aku akan meninggal dunia tidak lama lagi). Katakan kepadanya bahawa Umar bin Khattaab meminta izin untuk dikebumikan bersama dua sahabatnya, (Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu)).”
Mengikut arahan bapanya, Saidina Abdullah bin Umar (radhiyallahu ‘anhuma) pergi ke rumah Saidatina Aaishah (radhiyallahu ‘anha) di mana beliau mendapati Saidatina Aaisyah (radhiallahu anha) sedang duduk dan menangis (di atas tragedi besar ini dan kehilangan yang akan dialami oleh umat dengan pemergian Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu)).
Beliau menyampaikan salam Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) kepadanya dan kemudian berkata, “Umar meminta izin untuk dikuburkan bersama dua orang sahabatnya.” Mendengar permintaan itu, Saidatina Aaishah (radhiyallahu ‘anha) berkata, “Aku berharap untuk dimakamkan di sana (berdekatan dengan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), dan ayahku, Saidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu)). Namun, hari ini aku akan mengutamakan Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) daripada diriku sendiri.”
Ketika Saidina Abdullah bin Umar (radhiyallahu ‘anhuma) kembali, dan berkata kepada Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) bahawa Saidatina Aaishah (radhiyallahu ‘anha) telah mengizinkannya untuk dikebumikan bersama Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan Saidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu), Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) sangat gembira.
Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu) kemudian berpesan kepada anaknya, Saidina Abdullah bin Umar (radhiyallahu ‘anhuma) dengan berkata, “Setelah aku meninggal dunia, apabila kamu membawa jenazahku untuk dikebumikan, maka sekali lagi tanyakan kepada Saidatina Aaishah (radhiyallahu ‘anha) untuk keizinan bagi pihakku dengan berkata, ‘Umar meminta izin untuk dikebumikan bersama dua orang sahabatnya.” Jika dia mengizinkan lagi, maka kuburkanku di sana. Jika tidak, maka kuburkanlah aku di tanah perkuburan kaum Muslimin.” (Sahih Bukhari #3700)