ذات مرة، صعد رسول الله صلى الله عليه وسلم جبل حراء ومعه أبو بكر وعمر وعثمان وعلي وطلحة والزبير وسعد بن أبي وقاص رضي الله عنهم فتحرك (الجبل ورجف)، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: اسكن حراء فما عليك إلا نبي أو صديق أو شهيد (من صحيح مسلم، الرقم: ٢٤١٧)
ملاحظة: استشهد سيدنا الزبير رضي الله عنه في وقعة الجمل سنة ست وثلاثين الهجرية.
Pada suatu ketika, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) mendaki Gunung Hiraa bersama Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Zubair dan Sa’d bin Abi Waqqas (radhiyallahu ‘anhum).
Gunung itu mula bergegar (kerana teruja bahawa personaliti hebat ini berdiri di atasnya). Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berkata kepada gunung itu:
“Diamlah wahai Hiraa, sesungguhnya yang ada di atasmu hanyalah seorang Nabi, seorang siddiq atau seorang syahid” (Sahih Muslim #2417)
N.B. Saidina Zubair (radhiyallahu ‘anhu) meninggal dunia sebagai seorang syahid dalam perang Jamal pada tahun 36H.
Luka-luka di Jalan Allah Ta‘ala
Hafs bin Khalid (rahimahullah) meriwayatkan bahawa seorang lelaki tua yang tiba dari Mowsil telah memberitahunya perkara berikut:
Aku pernah menemani Saidina Zubair (radhiyallahu ‘anhu) dalam salah satu perjalanannya. Semasa perjalanan, ketika kami berada di tanah yang lapang dan tandus, Saidina Zubair (radhiyallahu ‘anhu) perlu bermandi wajib. Dia berkata kepadaku, “Selindungilah aku (dengan kain supaya aku boleh mandi).” Oleh itu, aku menyelindungkannya, dan semasa menyelindunginya, aku melihat sekilas parut di bahagian atas badannya akibat terkena pedang. Aku berkata kepadanya, “Demi Allah! Aku telah melihat parut pada tubuhmu yang belum pernah aku lihat sebelumnya pada orang lain!” Saidina Zubair (radhiyallahu ‘anhu) bertanya kepadaku, “Apakah kamu benar-benar melihatnya?” Apabila aku menjawab bahawa aku memang telah melihat parut itu, dia berkata, “Demi Allah! Ketahuilah bahawa tidak ada parut di badanku melainkan aku menerimanya di sisi Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) semasa berjuang di jalan Allah Ta’ala melawan orang-orang kafir. (Tahzeeb-ul-Kamaal 9/321)
‘Urwah (rahimahullah) meriwayatkan, “Saidina Zubair (radhiyallahu ‘anhu) telah menerima tiga luka besar di badannya akibat terkena pedang. Satu di bahunya, dan (ianya terlalu besar sampai) aku memasukkan jariku ke dalamnya (lubang yang tertinggal setelah luka itu sembuh). Saidina Zubair (radhiallahu anhu) mendapat dua luka pada Hari Badar dan satu pada Hari Yarmuk.” (Siyar ‘A’laam min Nubalaa 3/33).