Selawat yang Paling Utama (Selawat Ibrahimiyyah)

Seorang tabi’in, Abdur Rahman bin Abi Layla (rahimahullah) meriwayatkan:

Pada suatu ketika, Saidina Ka’b bin ‘Ujrah (radiyallahu ‘anhu) telah bertemu dengan aku lalu berkata, “Mahukah aku berikan kepadamu satu hadiah yang pernah aku dengar daripada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)?” Aku menjawab, “Ya, sudah tentu! Sila berikannya kepadaku!” Beliau lalu berkata, “Pada suatu ketika, kami pernah bertanya kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), ‘Wahai Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)! Bagaimanakah cara untuk kami berselawat ke atas engkau? Sesungguhnya Allah (subhanahu wa ta’ala) telah pun mengajarkan kami cara mengucapkan salam kepada engkau.’

Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjawab, ‘Bacalah selawat berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

“Ya Allah, berilah selawat (rahmat) ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat ke atas Nabi Ibrahim (‘alaihissalam) dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim (‘alaihissalam). Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim (‘alaihissalam) dan keluarga Nabi Ibrahim (‘alaihissalam). Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”” 

Syaikhul Hadis, Maulana Muhammad Zakariyya Kandhlawi (rahimahullah) menyebutkan bahawa dalam hadis Saidina Ka’b bin ‘Ujrah (radiyallahu ‘anhu) di atas, ada disebutkan mengenai pemberian sebuah hadiah (iaitu hadiah Selawat Ibrahimiyyah). Dalam kalangan para Sahabat (radiyallahu ‘anhum), memberikan hadiah kepada tetamu merupakan satu kebiasaan. Daripada memberikan makanan dan minuman atau perkara-perkara bersifat material, mereka lebih gemar memberikan zikir Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) atau hadis-hadis baginda yang penuh keberkatan. Perkara-perkara sebegini jauh lebih berharga pada pandangan mereka berbanding harta benda duniawi, dan kehidupan mereka menjadi bukti kepada hakikat ini. Atas sebab itulah, Saidina Ka’b (radiyallahu ‘anhu) merujuk Selawat Ibrahimiyyah tersebut sebagai satu hadiah.

Allamah As-Sakhawi (rahimahullah) menyatakan bahawa selawat yang paling utama ialah Selawat Ibrahimiyyah memandangkan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sendiri yang mengajarkan selawat ini kepada para Sahabat (radiyallahu ‘anhum) apabila mereka bertanya kepada baginda tentang cara untuk menyempurnakan perintah berselawat yang disebutkan di dalam Al-Quran Al Karim.

Allamah An-Nawawi (rahimahullah) telah menyebutkan di dalam kitabnya “Rawdhah” bahawa sekiranya seseorang bernazar atau bersumpah untuk membaca selawat yang paling utama ke atas Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), dia dianggap telah memenuhi sumpah tersebut sekiranya dia membaca Selawat Ibrahimiyyah.

Ahli Fiqah yang terkenal, Allamah Asy-Syami (rahimahullah), melaporkan bahawa Imam Muhammad (rahimahullah) (murid kepada Imam Abu Hanifah (rahimahullah)) pernah ditanya, “Dalam lafaz yang bagaimanakah sepatutnya kita berselawat ke atas Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)?” Beliau menjawab dengan membacakan lafaz-lafaz yang terkandung di dalam Selawat Ibrahimiyyah.

Atas sebab itulah Selawat Ibrahimiyyah dianggap sebagai selawat yang paling utama mengikut mazhab Hanafi dan ia merupakan selawat yang dianjurkan untuk dibaca di dalam solat.

Perlu diingat bahawa terdapat pelbagai variasi bacaan selawat yang diriwayatkan daripada ramai para Sahabat (radiyallahu ‘anhum) yang mempelajari selawat-selawat tersebut secara terus daripada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam). Namun, apabila kita meneliti variasi selawat yang pelbagai ini, kita dapati bahawa terdapat sedikit perbezaan dari segi susunan lafaznya.

Syaikhul Hadis, Maulana Muhammad Zakariyya Kandhlawi (rahimahullah) menyebutkan bahawa sebab berlakunya perkara ini adalah kerana Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) mengajarkan versi yang berbeza kepada para Sahabat (radiyallahu ‘anhum) yang berlainan supaya tiada satu bentuk selawat tertentu yang dianggap sebagai satu kefarduan (wajib).

Adalah penting untuk difahami bahawa kewajipan berselawat merupakan satu perkara yang berasingan, manakala pembacaan versi selawat tertentu yang diriwayatkan khusus daripada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) adalah perkara yang berlainan. Oleh itu, jika seseorang membaca selawat yang tidak diriwayatkan secara khusus daripada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), ia tetap harus dan dibolehkan, walau bagaimanapun membaca versi yang diriwayatkan terus daripada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) adalah lebih utama dan besar ganjaran pahalanya.