Membaca selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) amat ditekankan dalam Al-Quran Majeed dan Hadis-hadis mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Terdapat pelbagai hukum yang diturunkan berhubung dengan selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) berkaitan dengan pelbagai ibadat.
Para Ulama sepakat atas pandangan bahawa membaca selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) sekali seumur hidup adalah fardu ain (wajib) ke atas setiap individu. Ini berdasarkan perintah Al-Quran Majeed yang memerintahkan orang-orang beriman untuk berselawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam).
Apabila seseorang mendengar nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) buat kali pertama dalam mana-mana majlis, maka wajib ke atasnya untuk membaca selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam).
Terdapat dua pandangan Fuqaha berkenaan hukum membaca selawat apabila nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) diulang beberapa kali dalam sesuatu majlis. Adakah wajib membaca selawat setiap kali seseorang mendengar nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), contohnya dalam satu ceramah atau dalam pengajian Hadis, atau memadai dengan membaca selawat sekali sahaja?
Pandangan pertama menyatakan bahawa ia adalah wajib untuk membaca selawat sekali sahaja. Selepas daripada itu, setiap kali seseorang mendengar nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), membaca selawat adalah mustahab (sunat). Hukum ini serupa dengan hukum membaca ayat sujud tilawah yang sama berulang kali dalam satu majlis, yang mana hanya wajib melakukan satu sujud sahaja.
Pandangan kedua menyatakan bahawa ia adalah wajib untuk membaca selawat setiap kali seseorang mendengar nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) dalam majlis tersebut.
Hadhrat Mufti Mahmood Hasan Gangohi (rahimahullah) menyebutkan bahawa terdapat kelonggaran pada pandangan pertama, manakala pandangan kedua mengandungi sikap berhati-hati. Walau bagaimanapun, tuntutan rasa cinta dan penghormatan terhadap Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) menghendaki seseorang untuk membaca selawat setiap kali dia mendengar nama mulia Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam).
Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda, “Orang yang bakhil ialah orang yang apabila namaku disebutkan di sisinya, dia tidak berselawat ke atasku.”
Selain daripada itu, membaca selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) dalam solat adalah sunnah (iaitu selepas tahiyyat akhir, sebelum seseorang menyelesaikan solatnya).
Dalam solat, membaca selawat ke atas Sayyidina Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) pada mana-mana posisi lain selain selepas tahiyyat adalah makruh. Walau bagaimanapun, apabila seseorang menunaikan solat witir, maka selepas menyelesaikan doa qunut pada rakaat ketiga, adalah mustahab bagi seseorang untuk membaca selawat. Membaca selawat pada waktu ini tidak makruh. Begitu juga, apabila seseorang menunaikan solat jenazah, maka ia adalah sunnah untuk membaca selawat selepas takbir yang kedua.
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya