Dalam Hadis Mubaarak, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah meramalkan peristiwa yang akan berlaku sebelum Kiamat. Baginda telah memperingatkan ummat tentang pelbagai ujian dan kesusahan yang akan menimpa mereka di tempat yang berbeza dan pada masa yang berbeza di dunia. Baginda juga menunjukkan kepada mereka jalan petunjuk dan keselamatan daripada fitnah-fitnah ini.
Inilah keindahan dan keagungan agama Islam yang tiada tandingannya, di mana Allah Ta‘ala tidak hanya mengutus Rasul-Nya (sallallahu ‘alaihi wasallam) sebagai sumber petunjuk bagi ummat, tetapi Dia juga mengurniakan baginda ilmu tentang peristiwa-peristiwa yang akan terungkai di dunia sebelum Kiamat agar hidayahnya merangkumi cabaran sepanjang zaman.
Oleh itu, kita dapati perincian terbaik tercatat dalam Ahaadith, yang menggambarkan cabaran dekat dan jauh yang akan dihadapi umat selepas kewafatan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam). Di antara fitnah-fitnah ini ialah tanda-tanda Kiamat yang kecil dan besar.
Saidina Amr bin Akhtab (radhiyallahu ‘anhu) meriwayatkan, “Pada suatu ketika, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berdiri di masjid dan mula memberitahu kami tentang peristiwa yang akan berlaku sebelum Kiamat. Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) naik ke atas mimbar selepas Subuh dan berucap hingga waktu solat Zuhur, dan menunaikan solat Zuhur. Selepas menunaikan solat Zuhur, baginda naik lagi ke atas mimbar dan terus berucap hingga solat Asar, selepas menunaikan solat Asar, baginda naik ke atas mimbar lagi dan berucap sampai matahari terbenam pada hari itu, baginda memberitahu kami apa yang akan berlaku pada hari Kiamat, oleh itu, mereka yang ingat paling banyak berkenaan tanda tanda Kiamat adalah yang paling berilmu di antara kami tentang tanda-tanda Kiamat. (Sahih Muslim #2892)
Hadith yang membahas tentang tanda-tanda Kiamat tersangatlah banyak. Tanda-tanda tertentu telah diterangkan dengan jelas dengan sangat terperinci, manakala tanda-tanda lain telah diterangkan secara ringkas. Oleh itu, apabila mana-mana tanda yang Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah jelaskan secara terperinci menjadi zahir di hadapan Sahaabah (radhiyallahu ‘anhum), ianya seolah-olah kata-kata Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) itu telah menjadi kenyataan di hadapan mata mereka.
Ulama telah mengklasifikasikan tanda-tanda Kiamat kepada dua kategori; tanda-tanda kecil Kiamat dan tanda-tanda besar Kiamat. Dari tanda-tanda kecil, tanda pertama yang muncul adalah wafatnya Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), sedangkan tanda besar pertama yang muncul adalah munculnya Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) di dunia.
Insha Allah, dalam bahagian-bahagian yang akan datang, kita akan membincangkan tanda-tanda kecil dan besar Kiamat yang telah digariskan dalam Ahaadith Mubaarak, bersama-sama dengan menerangkan maksud Ahaadith di mana sahaja yang diperlukan.