Pembukaan Peristiwa Sebelum Kemunculan Imam Mahdi
Sebelum kemunculan Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) di dunia, majoriti penduduk dunia akan menjadi Kristian. (Muslim #2898)
Di banyak bahagian dunia, umat Islam akan mengalami kesulitan dan akan dikenakan penganiayaan dan kesusahan di tangan orang-orang kafir. Banyak peperangan akan meletus dan umat Islam di seluruh dunia akan menantikan kedatangan Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) untuk membantu mereka.
Pada masa itu, seorang Sufyani (seorang dari keturunan Hazrat Abu Sufyan [radhiyallahu ‘anhu]) akan mempunyai pengaruh dan kuasa di Syria. (Haakim #8586) Dia akan menjadi orang yang jahat dan akan memburu Sayyid (keturunan keluarga Rasulullah [sallallahu ‘alaihi wasallam]) dan akan membunuh mereka di mana sahaja dia menjumpai mereka. (Al-Fitan li-Nu’aim #923)
Dia akan menghantar tenteranya ke Kufah dan Madinah Munawwarah, dan mereka akan menyebabkan kekacauan dan pertumpahan darah di bandar-bandar ini. (Ishaa’ah ms. 203)
Umat Islam akan mencari Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) supaya melalui kepemimpinan dan bimbingannya, mereka dapat mengatasi kesulitan mereka. (Al-Fitan li-Nu’aim #868)
Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) akan berada di Madinah Munawwarah, dan kerana takut orang ramai akan melantiknya sebagai pemerintah, beliau akan meninggalkan Madinah Munawwarah untuk pergi ke Makkah Mukarramah. (Mirqaat 8/3440)
Menurut beberapa riwayat, beliau akan melarikan diri ke Makkah Mukarramah untuk melarikan diri dari tentera Sufyani yang akan membunuh Sayyid. (Al-Fitan li-Nu’aim #923, 924)
Di Makkah Mukarramah, di kawasan Masjid al-Haram, di antara Hajr-e-Aswad dan Maqam Ibrahim, hamba-hamba Allah yang soleh akan mengenali beliau sebagai Imam Mahdi, dan mereka akan membaiatnya. (Abu Dawood #4286)
Tentera Yang Tenggelam Ke Dalam Bumi
Apabila Sufyani mengetahui tentang kemunculan Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu), yang berasal dari keluarga Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), dia akan menghantar tenteranya ke arah beliau.
Setelah tentera itu sampai di Baidaa (suatu kawasan di luar Madinah Munawwarah), mereka akan berhenti di sebuah bukit untuk berehat. Namun, setelah sampai di bukit itu, semua tentera akan tenggelam ke dalam bumi dan akan binasa.
Hanya seorang yang akan terselamat dari tentera ini, dan dia akan memberitahu orang ramai tentang apa yang telah berlaku. Saidatina Hafsah (radhiyallahu ‘anha) meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda:
“Suatu tentera akan menuju ke rumah ini (iaitu Ka’bah Shareef) untuk memeranginya, sehingga mereka akan sampai di Baidaa di mana bahagian tengah tentera mereka akan tenggelam ke dalam bumi. Bahagian depan tentera akan memanggil bahagian belakang tentera, setelah itu mereka semua akan tenggelam ke dalam bumi. Hanya seorang yang akan terselamat yang akan memberitahu orang ramai tentang nasib tentera itu.” (Muslim #2883)
Dalam beberapa riwayat, disebutkan bahawa dua orang akan terselamat dari tentera ini. Salah seorang akan kembali kepada Sufyani dan memberitahunya tentang apa yang telah berlaku, dan orang yang lain akan datang kepada Imam Mahdi dan memberitahunya tentang apa yang telah berlaku. (Ishaa’ah ms. 206, Al-Fitan li-Nu’aim #947)
Setelah berita tentang tentera Sufyani yang tenggelam ke dalam bumi tersebar di kalangan orang ramai, Abdaal (orang orang soleh yang di lantik Allah Ta’ala) dari Syam dan orang-orang soleh dari Iraq akan datang kepada Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) dan membaiatnya.
Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) kemudian akan berkata, “Masa telah tiba untuk aku muncul dari Makkah Mukarramah.” (Ishaa’ah ms. 206)
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah menggambarkan pembukaan peristiwa yang berkaitan dengan kemunculan Imam Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) dalam hadith yang berikut:
“Akan berlaku perselisihan faham (antara umat Islam yang bertanggungjawab melantik pemimpin) apabila seorang pemerintah akan meninggal dunia. (Pada masa itu,) seorang lelaki dari penduduk Madinah Munawwarah akan keluar, melarikan diri ke Makkah Mukarramah.
Beberapa orang dari penduduk Makkah Mukarramah akan mendatanginya dan membawanya keluar (dari rumahnya) tanpa kehendaknya, setelah itu mereka akan membaiatnya di antara Hajr-e-Aswad dan Maqam Ibrahim.
Kemudian, suatu tentera akan dihantar ke arahnya dari penduduk Syam. Tentera ini akan tenggelam ke dalam bumi setelah sampai di suatu kawasan lapang antara Makkah Mukarramah dan Madinah Munawwarah.
Apabila orang ramai melihat ini, Abdaal dari Syam dan orang-orang soleh dari Iraq akan mendatanginya dan membaiatnya di antara Hajr-e-Aswad dan Maqam Ibrahim.” (Abu Dawood #4286)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya