كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا تلقى مالا للمسلمين، أودعه عند سيدنا بلال رضي الله عنه (معينا له خازنا عليه) (من الإصابة ١/٤٥٥)
Setiap kali Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menerima sebarang harta untuk umat Islam, baginda akan mengamanahkannya kepada Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) (sekali gus melantik beliau sebagai bendahari baginda bagi menguruskan harta tersebut). (Al-Isabah 1/455)
Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) – Bendahari Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)
Tabi’in Abdullah Al-Hawzani (rahimahullah) menceritakan bahawa beliau pernah bertemu dengan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) di Halab (sebuah kota di Syam). Semasa bertemu dengan Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu), beliau bertanya, “Wahai Bilal (radiyallahu ‘anhu)! Ceritakanlah kepadaku bagaimana cara Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) membelanjakan harta (untuk jalan agama).”
Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) menjawab:
“Sejak Allah (subhanahu wa ta’ala) mengutuskan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sebagai seorang Nabi sehinggalah baginda meninggalkan dunia ini, keadaan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) adalah sedemikian rupa – (sejak saya berada bersama baginda,) setiap kali baginda menerima sebarang harta, baginda akan menyerahkannya kepadaku.
“Apabila ada seorang Muslim yang datang menemui Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan baginda mendapati orang tersebut tidak mempunyai pakaian (atau makanan) yang mencukupi, baginda akan mengarahkanku untuk menyediakan pakaian (dan makanan) untuknya. Sekiranya Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tidak mempunyai sebarang harta, aku akan membuat pinjaman untuk membeli kain selendang dan apa sahaja yang diperlukan, lalu aku memakaikan pakaian dan memberi makanan kepada orang tersebut.
“Perkara ini berterusan sehinggalah pada suatu hari, seorang lelaki kafir datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Bilal! Aku mempunyai harta yang banyak, jadi janganlah engkau meminjam daripada orang lain selain daripadaku.’ Maka, aku pun mula membuat pinjaman daripadanya dan berhenti meminjam daripada orang lain.
“Pada suatu hari, selepas aku selesai berwuduk dan bersiap sedia untuk mengumandangkan azan solat, aku terpandang lelaki kafir tersebut berdiri di tengah-tengah sekumpulan pedagang berdekatan. Apabila dia melihatku, dia terus memanggilku seraya berkata, ‘Wahai orang Habsyi!’ Kemudian dia mula bercakap denganku dengan nada yang sangat biadap dan kasar. Dia bertanya, ‘Tahukah engkau berapa hari lagi yang tinggal sehingga akhir bulan?’ Aku menjawab, ‘Akhir bulan sudah hampir.’ Dia lalu berkata, ‘Hanya tinggal empat malam sahaja lagi! Jika engkau tidak menjelaskan hutangku menjelang akhir bulan, aku akan mengambilmu sebagai hamba bagiku sebagai ganti wang yang engkau hutang. Aku meminjamkan harta kepadamu bukannya kerana aku menghormatimu atau rakanmu (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam). Aku hanya meminjamkan harta kepadamu supaya engkau menjadi hambaku dan aku akan menyuruhmu menggembala kambing semula (dalam hidupmu), sebagaimana yang pernah engkau lakukan sebelum ini (semasa engkau menjadi hamba).’
“Apabila aku mendengar kata-kata tersebut daripadanya, aku terkejut . Walau bagaimanapun, aku tetap mengumandangkan azan solat dan kami kemudian mendirikan solat Isyak.
“Apabila Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) pulang ke rumah selepas solat Isyak, aku pergi menemui baginda dan meminta izin untuk masuk ke rumahnya bagi berbicara. Apabila baginda memberi izin, aku masuk lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam)! Demi bapa dan ibuku yang menjadi taruhan bagimu! Lelaki kafir yang pernah aku ceritakan kepadamu yang aku buat pinjaman daripadanya – dia telah mengancam untuk mengambilku sebagai hambanya jika aku tidak membayarnya menjelang akhir bulan. Engkau mahupun aku tidak mempunyai kelengkapan harta untuk membayarnya dan dia mahu memalukanku (di hadapan orang ramai). Berikanlah izin kepadaku untuk melarikan diri ke kawasan lain di mana penduduknya telah memeluk Islam, supaya aku dapat tinggal bersama mereka sehinggalah Allah (subhanahu wa ta’ala) memberikan engkau rezeki untuk membayar wang yang aku hutangi daripada lelaki kafir tersebut.’
“Setelah menceritakan perkara ini kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), aku meninggalkan rumah baginda lalu menuju ke rumahku. Setibanya di rumah, aku mengumpulkan pedang, beg, tombak dan capal lalu meletakkannya di bahagian kepalaku, kemudian aku berbaring sambil menghadap ke arah kaki langit. Kerana terlalu bimbang, pada mulanya aku tidak dapat tidur. Setiap kali aku tertidur, aku akan terus terjaga dalam keadaan terkejut. Akhirnya aku dapat juga tidur dan hanya terjaga berhampiran waktu subuh sadiq.
“Pada waktu pagi, semasa aku baru hendak keluar dari rumah, tiba-tiba seorang lelaki datang berlari kepadaku sambil memanggil, ‘Wahai Bilal! Kemarilah! Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) memanggilmu!’ Aku terus bergegas menemui Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), dan setibanya di sana, aku mendapati di sekeliling rumah Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) terdapat empat ekor haiwan tunggangan yang sarat dengan muatan barang.
“Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berkata kepadaku, ‘Berita gembira (wahai Bilal)! Allah (subhanahu wa ta’ala) telah menyediakan jalan untuk engkau jelaskan hutangmu.’ Apabila mendengar berita gembira ini, aku terus memuji Allah (subhanahu wa ta’ala).
“Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bertanya kepadaku, ‘Tidakkah engkau lalu berhampiran empat ekor haiwan yang sedang melutut (di sebelah sana)?’ Aku menjawab, ‘Ya, aku ada melihatnya.’ Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) kemudian bersabda, ‘Sesungguhnya unta-unta tersebut beserta dengan muatannya adalah milikmu.’ Apabila aku melihatnya, aku mendapati semuanya sarat dengan pakaian dan makanan yang dihadiahkan oleh pemimpin Fadak (sebuah tempat berhampiran Madinah Munawwarah) kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam).
“Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berkata kepadaku, ‘Ambillah unta-unta ini serta barangan muatannya dan jelaskanlah hutang-hutangmu dengannya.’ Aku mematuhi arahan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), mengambil unta-unta tersebut dan mula memindahkan barangan muatannya. Kemudian aku mengikat unta-unta itu lalu pergi mengumandangkan azan solat Subuh.
“Setelah kami selesai mendirikan solat Subuh, aku berjalan menuju ke Baqi’, lalu memasukkan jari-jariku ke dalam telinga (untuk membantu meninggikan suara) dan melaungkan dengan suara yang sekuat-kuatnya, ‘Sesiapa yang mahu menuntut wang yang dihutangi oleh Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) daripadanya, hendaklah dia tampil ke hadapan!’
“Aku terus menjual barangan tersebut dan melunaskan hutang-hutang apabila para pemiutang datang, berniaga dan menukarkan barang bagi menggantikan wang hutang, sehinggalah setiap satu hutang selesai dilunaskan (termasuk hutang lelaki kafir yang mengancam untuk mengambilku sebagai hamba). Setelah membayarkan kesemua hutang, aku masih mempunyai baki sebanyak satu setengah atau dua uqiyah emas.
“Pada waktu itu, sebahagian besar waktu siang telah berlalu. Aku pergi ke masjid dan mendapati Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sedang duduk bersendirian. Setelah memberi salam kepada baginda, baginda bertanya kepadaku apa yang telah aku lakukan dengan unta-unta dan barangan muatan tersebut. Aku menjawab, ‘Allah (subhanahu wa ta’ala) telah melunaskan setiap hutang Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sehingga tidak ada lagi hutang yang berbaki.’
“Baginda kemudian bertanya kepadaku, ‘Adakah terdapat sebarang harta yang masih berbaki?’ Aku menjawab, ‘Ya, ada dua keping wang emas.’ Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda kepadaku, ‘(Sedekahkanlah harta ini dan) lepaskanlah aku daripada bebannya! Aku tidak akan pulang ke rumah mana-mana isteriku sehinggalah engkau melepaskan aku daripada dua keping wang emas ini (dengan menyedekahkannya kepada orang miskin).’
“Disebabkan tidak ada seorang pun yang datang membawa keperluan (untuk aku berikan sedekah tersebut), Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tidak pulang ke rumah mana-mana isteri baginda yang mulia, sebaliknya menghabiskan sepanjang malam di dalam masjid.
“Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) tinggal di dalam masjid sehinggalah hari kedua hampir melabuhkan tirainya. Barulah selepas itu datang dua orang musafir yang aku bawa bersama untuk diberi makanan dan pakaian. Selepas kami selesai mendirikan solat Isyak,
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) memanggilku dan bertanya apa yang telah aku lakukan dengan baki wang tersebut. Aku berkata kepada Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), ‘Wahai Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam), Allah (subhanahu wa ta’ala) telah melepaskan engkau daripada beban harta tersebut.’
“Dalam kegembiraan, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) mengucapkan ‘Allahu Akbar!’ dan memuji Allah (subhanahu wa ta’ala) atas rasa syukur, kerana baginda sangat bimbang sekiranya meninggal dunia dalam keadaan masih mempunyai harta dalam simpanannya. Aku kemudian mengekorinya semasa baginda pergi ke rumah isteri-isterinya yang mulia, memberi salam kepada mereka seorang demi seorang, sehinggalah baginda akhirnya sampai ke rumah isteri yang mendapat giliran untuk baginda bermalam bersamanya.”
Saidina Bilal (radiyallahu ‘anhu) kemudian berkata kepada Tabi’in Abdullah Al-Hawzani (rahimahullah), “Inilah jawapan kepada soalanmu. Beginilah cara Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) membelanjakan harta yang diterimanya pada jalan Allah (subhanahu wa ta’ala).” (Dala’il an-Nubuwwah oleh al-Baihaqi 1/348)*
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya