لما احتضر سيدنا بلال رضي الله عنه قال: غدا نلقي الأحبة، محمدا وحزبه
فقالت له امرأته حزينة: واويلاه!
فقال سيدنا بلال رضي الله عنه: وافرحاه! (فقد حان وقت لقاء رسول الله صلى الله عليه وسلم والصحابة رضي الله عنهم) (من سير أعلام النبلاء ٣/٢٢٣)
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) menyeru, “Esok, aku akan bertemu dengan insan-insan kekasihku, Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) dan para sahabat baginda!”
Isteri Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) meluahkan kesedihan, “Alangkah sedihnya diriku (atas perpisahan denganmu)!”
Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) berkata kepadanya, “Bahkan, aku sangat gembira ketika ini (kerana masa untuk berhimpun semula dengan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) dan para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum) sudah semakin hampir)!” (Siyar A’lam an-Nubala 3/223)
Kepulangan Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) ke Madinah Munawwarah
‘Allamah Zurqani (rahimahullah) telah memetik kisah berikut daripada Hafiz ibn ‘Asakir (rahimahullah) dengan sanad yang kuat:
Selepas kewafatan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), sukar bagi Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) untuk meneruskan kehidupan di Madinah Munawwarah disebabkan kecintaan beliau yang teramat mendalam kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) serta kenangan bersama Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) di kota yang berkat itu yang tidak dapat dilupakan.
Oleh itu, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) telah meninggalkan Madinah Munawwarah dan menetap di Dariyya (sebuah tempat yang terletak di Syam). Selepas beberapa ketika menetap di Syam, pada suatu malam Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) bermimpi melihat Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) bersabda kepadanya, “Wahai Bilal! Mengapa engkau menjauhkan diri daripadaku? Belum tibakah masanya untuk engkau datang menziarahiku?”
Apabila Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) terjaga daripada tidur, beliau diselubungi rasa kesedihan dan kerinduan yang amat sangat sehinggakan beliau terus menaiki tunggangannya dan bertolak menuju ke Madinah Munawwarah.
Apabila beliau sampai di hadapan makam mulia Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), beliau dikuasai oleh rasa cinta yang amat mendalam terhadap Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) dan kesedihan yang teramat sangat atas perpisahan tersebut, lalu beliau terus menangis teresak-esak.
Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain (radhiyallahu ‘anhuma) kemudiannya datang menemui beliau. Apabila melihat kedua-duanya, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) mula memeluk dan mencium mereka kerana rasa cinta beliau terhadap ahli keluarga Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Mereka kemudiannya berkata kepada Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu), “Kami teringin untuk mendengar engkau melaungkan azan sebagaimana yang pernah engkau laungkan untuk Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam).”
Justeru, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) naik ke tempat yang tinggi untuk melaungkan azan. Apabila beliau mula melaungkan azan dengan menyebut “Allahu Akbar Allahu Akbar!”, jalan-jalan di Madinah Munawwarah mula bergema dengan suaranya yang mulia.
Apabila beliau meneruskan laungan bait-bait azan yang seterusnya, gema di Madinah Munawwarah semakin bertambah hingga sampai ke pendengaran penduduk, sehinggakan wanita dan kanak-kanak keluar dari rumah masing-masing. Mereka semua kelihatan menangis kerana ingatan yang mendalam terhadap zaman mulia Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam). Demikianlah besarnya kecintaan mereka yang tiada tandingannya terhadap Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam), sehinggakan tidak pernah ada suatu hari pun selepas kewafatan Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) yang menyaksikan penduduk Madinah Munawwarah menangis lebih teruk daripada hari tersebut. (Zurqani 5/71)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya