Solat – Kunci ke Syurga
Islam adalah satu-satunya jalan yang membawa kepada cinta Allah Ta’ala dan menuju ke syurga. Dengan mengamalkan Islam, seseorang akan mendapat keredhaan Allah Ta’ala dan memperoleh kejayaan yang kekal.
Dari semua kewajipan dalam Islam, kewajipan solat adalah yang paling tinggi kedudukannya. Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) bersabda, “Solat adalah kunci ke syurga.”[1]
Dalam Hadis yang lain, Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) bersabda, “Solat adalah nur (cahaya ilahi).”[2] Oleh itu, jika seseorang ingin menerangi hidupnya, maka hendaklah dia menerangi hidupnya dengan solat.
Pada masa ini, banyak negara di seluruh dunia sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Dalam menghadapi krisis global ini, pelbagai skim dan sistem sedang diguna pakai untuk meningkatkan ekonomi.
Walau bagaimanapun, dalam Al-Quran Karim dan Hadith, Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (sallallahu alaihi wa sallam) telah mengaitkan nikmat rezeki dan kehidupan dengan solat.
Dalam Al-Quran Karim, Allah Ta’ala berfirman:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ
Perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan tetaplah teguh mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripada kamu – Kami memberi rezeki kepada kamu.[3]
Saidina Abdullah bin Salaam (radhiallahu anhu) melaporkan bahawa setiap kali keluarga Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) ditimpa kesusahan kewangan, Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) akan menasihati mereka untuk mengerjakan solat dan akan membacakan ayat di atas kepada mereka juga.[4]
Tiang Utama Agama
Apabila seseorang itu memeluk Islam, maka antara perkara pertama yang diajarkan oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) kepadanya ialah solat.[5]
Seluruh kehidupan Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dikhususkan untuk mendirikan solat di kalangan umat. Apabila baginda datang ke Quba dan Madinah Munawwarah, keutamaan baginda yang pertama dan paling penting ialah mendirikan masjid dan menyatukan orang-orang kearah solat.[6]
Selain itu, Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) memerintahkan supaya masjid dibina di setiap kawasan untuk menyatukan orang ramai kearah solat.[7]
Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) bersabda, “Solat adalah tiang utama agama.” Dengan kata lain, dengan menjaga tiang utama ini, seluruh agama seseorang akan tetap terpelihara, dan dengan memusnahkan tiang utama ini, seluruh struktur agama seseorang akan runtuh.[8]
Saidatina Aaishah (radhiallahu anha) menjelaskan kelakuan Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dan kepentingan yang baginda tunjukkan dalam mendirikan solat di masjid. Dia meriwayatkan, “Di dalam rumah, Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) sentiasa membantu kerja-kerja rumah. Tetapi sebaik sahaja baginda mendengar azan, baginda akan meninggalkan rumah, menuju ke masjid.”[9]
Pada suatu ketika, rombongan Thaqif datang kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dengan niat untuk memeluk Islam. Akan tetapi, mereka meminta dikecualikan daripada keluar berjihad, daripada membayar ushr (memberi sepuluh peratus hasil tanaman) kepada pemungut zakat dan daripada mendirikan solat.
Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) memenuhi dua permintaan pertama mereka, tetapi enggan memberikan mereka kelonggaran untuk meninggalkan solat. Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) bersabda, “Tidak ada kebaikan dalam agama yang tidak ada solat.”[10]
Kepentingan Solat dalam Kehidupan Saidina Umar (radhiallahu anhu)
Kepentingan dan keutamaan solat tertanam teguh dalam hati para Sahabat (radhiallahu anhum) sehinggakan walaupun mereka berada di ambang kematian, mereka akan memastikan bahawa mereka menegakkan tiang solat.
Pada pagi hari dimana Saidina Umar (radhiallahu anhu) ditikam, Saidina Miswar bin Makhramah (radhiallahu anhu) masuk menghadapnya. Ketika masuk, beliau mendapati Sadina Umar (radhiallahu anhu) tidak menyedarkan diri.
Saidina Miswar (radhiallahu anhu) bertanya kepada mereka yang hadir sama ada Saidina Umar (radhiallahu anhu) telah menunaikan solat. Mereka menjawab bahawa beliau masih belum sedar, dan oleh itu belum menunaikan solat.
Saidina Miswar (radhiallahu anhu) mengetahui kecintaan Saidina Umar (radhiallahu anhu) terhadap solat sepanjang hayatnya. Oleh itu, Saidina Miswar (radhiallahu anhu) menasihati mereka untuk membangunkannya dengan menyebut kepadanya bahawa ini adalah waktu solat. Oleh itu, mereka berseru, “Wahai Amirul Mukminin, solatmu!”
Sebaik sahaja Saidina Umar (radhiallahu anhu) mendengar perkataan ‘solat’, beliau bangun dan berseru, “Ya! Demi Allah! Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang mengabaikan solatnya!” Saidina Umar (radhiallahu anhu) selepas itu menunaikan solatnya.[11]
Saidina Umar (radhiallahu anhu) juga bertanya, “Adakah orang ramai sudah menunaikan solat Subuh?” Beliau diberitahu bahawa orang ramai telah menunaikan solat mereka. Barulah Saidina Umar (radhiallahu anhu) berasa puas.[12]
Semoga Allah Ta’ala kurniakan kita istiqamah dalam solat dan kurniakan kita kemampuan untuk mencontohi setiap Sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dalam setiap aspek kehidupan kita.
[1] سنن الترمذي، الرقم: 4، وإسناده حسن كما في التيسيير للعلامة المناوي رحمه الله 2/377
[2] صحيح مسلم، الرقم: 223
[3] سورة طه: 132
[4] المعجم الأوسط، الرقم: 886 و رجاله ثقات كما في مجمع الزوائد، الرقم: 11173
[5] مسند البزار، الرقم: 2765، ورجاله رجال الصحيح كما في مجمع الزوائد، الرقم: 1618
[6] صحيح البخاري، الرقم: 3906
[7] مسند أحمد، الرقم: 23146، وإسناده صحيح كما في مجمع الزوائد، الرقم: 1936، وقال الترمذي: قال سفيان: قوله: ببناء المساجد في الدور يعني القبائل
[8] سنن الترمذي، الرقم: ٢٦١٦، وقال: هذا حديث حسن صحيح
[9] صحيح البخاري، الرقم: 5363
[10] سنن أبي داود، الرقم: 3026، وقال المنذري رحمه الله في مختصره، الرقم: 3025: قد قيل: إن الحسن البصري لم يسمع من عثمان بن أبي العاص
[1] المعجم الأوسط للطبراني، الرقم: 8181، ورجاله رجال الصحيح كما في مجمع الزوائد، الرقم: 1636
[2] مصنف عبد الرزاق، الرقم: 581