Tanda-tanda Kiamat – Bahagian Kedua

Tujuan Menjelaskan Tanda-Tanda Kiamat Kepada Ummat

Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah memberitahu ummat tentang banyak tanda-tanda kecil dan besar yang akan muncul sebelum Kiamat. Banyak tanda-tanda kecil telah disaksikan dalam abad-abad yang telah berlalu, sementara banyak tanda-tanda ini sedang disaksikan hari ini.

Seorang Alim dan Muhaddith yang agung, Allaamah Qurtubi (rahimahullah), telah menyebutkan dua sebab Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menjelaskan tanda-tanda kiamat kepada ummat:

(1) Apabila ummat melihat sebarang tanda, ia akan menjadi peringatan bagi mereka untuk bangun dari lena dan kelalaian mereka dan menuju kepada agama.

(2) Mereka akan dapat menyelamatkan diri daripada fitnah zaman dengan bertaubat kepada Allah Ta‘ala dan mempersiapkan diri untuk hari Akhirat. (Ta’liq-us-Sabih 7/176)

Antara tanda-tanda kecil yang telah berlaku pada abad yang lalu adalah seperti berikut:

1. Terbelahnya bulan dengan isyarat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam).

2. Wafatnya Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam).

3. Kesyahidan Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu), Saidina Uthman (radhiyallahu ‘anhu) dan Saidina Ali (radhiyallahu ‘anhu).

4. Wabak Amwaas, semasa pemerintahan Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu), di mana beribu-ribu orang meninggal dunia.

5. Penaklukan Baytul Muqaddas dan kejatuhan empayar Rom dan Parsi yang berlaku semasa pemerintahan Saidina Umar (radhiyallahu ‘anhu).

6. Pembunuhan Saidina Husain (radhiyallahu ‘anhu) di Karbala semasa pemerintahan Yazid bin Mu’aawiyah.

7. Pembunuhan yang berlaku di Harrah (tempat di luar Madinah Munawwarah) di mana beribu-ribu orang, antaranya adalah Sahaabah (radhiyallahu ‘anhum) dan Taabi’in (rahimahumullah), telah dibunuh secara kejam semasa pemerintahan Yazid bin Mu’aawiyah.

8. Pemerintahan Saidina Umar bin Abdul Aziz (rahimahullah) dan keadilan yang telah berlaku di dunia ketika itu.

9. Pencerobohan orang Tartar pada abad ketujuh Islam.

10. Penaklukan Istanbul di tangan Muhammad Al-Faatih (rahimahullah) pada abad kesembilan Islam.

Setiap tanda-tanda kecil yang disebutkan di atas telah diberitahu awal oleh Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan berlaku persis seperti yang telah disebutkan dalam Ahaadith baginda.

Dalam Hadis berikut, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) menyebut tentang tanda-tanda kecil Kiamat yang lain. Jika kita meneliti keadaan ummat hari ini, kita akan dapati bahawa kebanyakan tanda-tanda ini sedang disaksikan di seluruh dunia. Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda:

“Apabila harta rampasan perang akan diambil sebagai harta peribadi orang untuk diagihkan di antara mereka, apabila amanah dianggap sebagai harta rampasan perang (iaitu harta awam), apabila zakat dipandang sebagai cukai, apabila ilmu agama diperoleh untuk tujuan selain agama, apabila seorang lelaki akan taat kepada isterinya dan menderhaka kepada ibunya, dan mendekatkan kawannya kepada dirinya dan menjauhkan dirinya daripada ayahnya, dan suara akan ditinggikan dimasjid, dan orang yang membuat dosa terang-terangan akan menjadi ketua mereka, dan orang yang paling rendah dari sesuatu kaum akan menjadi wakil mereka, dan seorang lelaki akan dimuliakan kerana takut akan kejahatannya, dan peremluan- perempuan yang menyanyi dan alat-alat muzik akan berleluasa, dan arak akan diminum (secara terbuka), dan orang-orang yang terkemudian dari ummat ini akan melaknat orang-orang yang terdahulu dari ummat ini, (apabila tanda tanda ini keluar) maka ummat perlu menunggu ribut, gempa bumi, orang tenggelam ke dalam bumi, berlakunya perubahan rupa, berlakunya hujan batu daripada langit dan tanda-tanda lain yang serupa yang akan mengikuti berturut-turut, seperti mutiara dalam benang jatuh berturut-turut apabila benang itu dipotong.” (Sunan Tirmizi #2211)

Perlu diingat bahawa Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) diutuskan sebagai pemimpin ummat manusia hingga akhir zaman. Baginda juga adalah pemimpin semua Ambiyaa dan Rasul (‘alaihimus salaam) masa lampau. Oleh itu, apabila baginda memberitahu berlakunya tanda-tanda ini, tujuannya adalah untuk memberi amaran kepada ummat tentang ujian ini, dan menunjukkan kepada mereka jalan keselamatan dalam menghadapi ujian dan cabaran tersebut.

Semoga Allah Ta‘ala menyelamatkan ummat daripada terjerumus ke dalam segala dosa dan kejahatan dan memberikan kita keteguhan di dalam Islam.

Semak juga

Tanda-tanda Kiamat – Bahagian Ketiga

Tanda-tanda Kecil Menjadi Lebih Teruk sebelum Tanda-tanda Besar Apabila melihat tanda-tanda kecil Kiamat yang tercatat …