Namrud adalah seorang raja pada zaman Nabi Ibrahim (Alaihis Salam). Dia merupakan seorang kafir yang mengaku dirinya sebagai tuhan. Dia juga seorang diktator yang zalim dan memaksa orang ramai untuk menyembahnya.
Apabila Namrud mendengar bahawa Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) mengajak orang ramai untuk beriman kepada Allah Ta’ala semata-mata dan tidak menyembah selain daripada-Nya, dia telah memanggil Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) ke istananya.
Apabila Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) datang menghadap Namrud, baginda mengajaknya kepada keesaan Allah Ta’ala. Walau bagaimanapun, Namrud tidak menerima dakwah Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) dan berkata kepadanya, “Tidak ada tuhan selain diriku sendiri!”
Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) memberitahunya, “Tuhanku ialah Allah Ta’ala , Tuhan yang satu-satunya menghidupkan dan mematikan.” Namrud, yang tidak memahami hakikat hidup dan mati, menjawab dengan bongkak, “Aku juga menghidupkan dan mematikan!”
Demi membuktikan dakwaannya, dia memanggil dua orang banduan dan memerintahkan supaya salah seorang dihukum bunuh manakala seorang lagi dibebaskan.
Namrud gagal memahami hakikat sebenar kehidupan dan kematian. Memberi kehidupan bermaksud meniupkan roh ke dalam sesuatu yang tidak bernyawa dan mewujudkannya, manakala mematikan pula bermaksud mencabut roh daripada sesuatu yang bernyawa, di mana walaupun semua anggota badan kekal utuh, orang tersebut dianggap telah mati.
Melihat bahawa garis pemikiran ini tidak dapat difahami dengan betul oleh Namrud, Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) memutuskan untuk menukar gaya perdebatan dan membentangkan hujah yang berbeza.
Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) berkata kepada Namrud, “Allah -ku adalah Tuhan yang menerbitkan matahari dari timur dan menenggelamkannya di barat. Wahai Namrud! Jika kamu mengaku sebagai tuhan, maka cubalah kamu pusingkan kitaran itu dan terbitkan matahari dari barat serta tenggelamkannya di timur?”
Hujah ini sangat kuat sehinggakan Namrud tidak mampu menjawabnya dan dia terkedu serta terdiam seribu bahasa.
Di dalam Al-Qur’an Majeed, Allah Ta’ala menggambarkan keadaan Namrud yang terdiam itu dengan firman-Nya:
فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ
Lalu terdiamlah orang yang kafir itu (Namrud) dalam keadaan bingung. (Surah Baqarah v. 258)
Selepas itulah Namrud dan kaumnya menyalakan api untuk membakar Nabi Ibrahim (Alaihis Salam). Mereka membakar api tersebut selama beberapa hari, sehingga habanya mencapai tahap keamatan yang sangat tinggi sehingga mereka tidak dapat mendekatinya tanpa hangus terbakar. Oleh itu, sebuah manjanik (alat pelontar) diperlukan untuk melontar Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) ke dalam api dari jarak jauh.
Walau bagaimanapun, oleh kerana Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) tetap teguh di atas iman dan telah melakukan pengorbanan yang sedemikian rupa demi Allah Ta’ala, Allah Ta’ala telah berfirman secara langsung kepada api tersebut dan memerintahkannya supaya menjadi sejuk dan menyelamatkan Nabi Ibrahim (Alaihis Salam). Allah Ta’ala berfirman:
يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ ﴿٦٩﴾
Wahai api! Jadilah engkau sejuk dan penyelamat bagi Ibrahim! (Surah Ambiya v. 69)
Dengan perintah Allah Ta’ala, api tersebut menjadi tempat yang penuh kedamaian dan keselesaan bagi Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) hinggakan para Ulama mengatakan bahawa hari-hari yang dilalui oleh Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) di dalam api itu merupakan hari-hari yang paling selesa dan menyeronokkan dalam hidup baginda.
Apabila Nabi Ibrahim (Alaihis Salam) melihat bahawa raja dan kaumnya tidak bersedia untuk menerima Islam dan menentang dakwahnya, baginda memisahkan diri daripada mereka dan pergi meninggalkan mereka.
Mula-mula baginda meninggalkan bapanya dan rumahnya, kemudian baginda meninggalkan kaumnya, dan akhirnya baginda meninggalkan negara tempat tinggalnya – Iraq.
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya