Surah Dhuha

وَالضُّحَىٰ ‎﴿١﴾‏ وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ ‎﴿٢﴾‏ مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ ‎﴿٣﴾‏ وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ ‎﴿٤﴾‏ وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ ‎﴿٥﴾‏ أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ ‎﴿٦﴾‏ وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ ‎﴿٧﴾‏ وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ ‎﴿٨﴾‏ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ ‎﴿٩﴾‏ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ ‎﴿١٠﴾‏ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ ‎﴿١١﴾‏

Demi cahaya pagi yang mulia, dan demi malam ketika ia menjadi sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula murka kepadamu. Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada kehidupan sekarang. Dan kelak Tuhanmu akan memberikan kepadamu nikmat-nikmat (yang melimpah-limpah) yang kamu redhai. Bukankah Dia mendapatimu sebagai yatim, lalu Dia memberimu perlindungan? Dan bukankah Dia mendapati kamu dalam keadaan tidak mengetahui, lalu Dia menunjukkan jalan kepada kamu? Dan bukankah Dia mendapati kamu dalam keadaan miskin, lalu Dia memberi kamu harta? Adapun anak yatim, maka janganlah kamu memperlakukannya dengan kasar; dan adapun orang yang meminta-minta, maka janganlah kamu menolaknya; dan tentang nikmat Tuhanmu, maka bincangkanlah (berkenaannya).‎

Asbab ayat diturunkan

Pada zaman awal Islam, semasa Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) berada di ‎Makkah Mukarramah, baginda tidak menerima wahyu daripada Allah Ta’ala ‎selama beberapa hari. Disebabkan ini, sebahagian orang kafir mula mengejek Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) dengan berkata, “Tuhanmu telah meninggalkanmu dan murka kepadamu, maka Dia tidak lagi mengutus wahyu kepadamu.”‎

Ejekan dan kata-kata yang menyakitkan sebegini secara semula jadi akan menyebabkan kesakitan kepada seseorang. Walau bagaimanapun, Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) mempunyai keyakinan penuh bahawa Allah Ta’ala bersamanya dan tidak meninggalkannya dan tidak juga murka kepadanya. ‎

Namun demikian, sebagai penghibur bagi Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) dan sebagai ‎pengajaran bagi umatnya, Allah Ta’ala menurunkan surah ini, di mana Dia menjelaskan bahawa orang-orang yang berbakti kepada Allah ‎Ta’ala- apabila mereka mengalami kesusahan, maka mereka jangan sekali-kali merasa, walau sesaat, bahawa Allah Ta’ala telah meninggalkan mereka atau bahawa Allah Ta’ala murka terhadap mereka.‎

Kesukaran Diikuti Dengan Kemudahan

Allah Ta’ala memulakan surah ini dengan ayat-ayat berikut:‎

وَالضُّحَىٰ ‎﴿١﴾‏ وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ ‎﴿٢﴾‏ مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ ‎﴿٣﴾‏

Demi cahaya pagi yang mulia, dan demi malam ketika ia menjadi sunyi. Rabbmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula murka kepadamu.

 Dalam ayat-ayat ini, Allah Ta’ala bersumpah dengan cahaya pagi yang mulia dan dengan malam ketika ia menjadi sunyi.  Ini adalah petunjuk bahawa manusia akan melalui fasa yang berbeza, dan sama seperti kegelapan malam diikuti oleh cahaya siang, begitu juga, tempoh kesukaran akan diikuti oleh tempoh kemudahan.‎

Oleh itu, apabila seseorang melalui fasa kesukaran, dia tidak boleh merasa bahawa Allah Ta’ala tidak redha kepadanya atau telah meninggalkannya.  Sebaliknya, seseorang itu hendaklah kembali kepada Allah Ta’ala dan tetap ‎taat kepada-Nya pada setiap masa.‎

Dua makna bagi ayat ini

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ ‎﴿٤﴾

Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada (kehidupan) sekarang.

 Maksud ayat ini ialah kehidupan akhirat itu lebih baik bagi Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) daripada kehidupan dunia.  ‎

Walau bagaimanapun, ayat ini juga boleh membawa maksud bahawa setiap detik kehidupan Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) akan lebih baik daripada detik-detik sebelumnya ‎.‎

Dengan kata lain, ini adalah berita gembira yang istimewa untuk Rasulullah ‎(sallaallahu alaihi wasallam), bahawa Allah Ta’ala akan terus memberkati baginda dan ‎memperbanyakkan ilmu baginda, makrifat istimewa Allah Ta’ala dan semakin mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.  Dalam hal ini, terdapat juga petunjuk ke arah peningkatan dalam kehidupan, kehormatan dan kepimpinannya.

Namun begitu, sebagaimana ayat ini mengandungi khabar gembira khusus untuk Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam), ia juga merupakan satu cara untuk menggalakkan setiap mukmin yang soleh untuk sentiasa mengharapkan rahmat Allah Ta’ala.‎

Jika seorang mukmin terus mengikuti sunnah Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) dalam hidupnya, dan dia berusaha untuk mendapatkan ‎kedekatan yang istimewa kepada Allah Ta’ala, maka setiap saat yang akan datang ‎akan insya Allah lebih baik baginya daripada saat-saat lalu, sebagaimana ‎  Allah Ta’ala akan terus memberinya peningkatan dan kemajuan dalam kefahaman Islam, ilmu Islam, penghormatan dan dalam setiap aspek kehidupan yang lain.‎

Oleh itu, apabila dia mengalami sebarang kesusahan atau kesukaran maka dia tidak boleh bersedih dan berputus asa, tetapi hendaklah dia kembali kepada ‎Allah Ta’ala dan berharap kepada rahmat-Nya.‎

Cinta Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) Kepada Ummat baginda

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ ‎﴿٥﴾

Dan kelak Tuhanmu akan memberikan kepadamu nikmat yang melimpah-limpah supaya kamu redha.

 Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memberitahu Rasul yang dikasihi-Nya (sallaallahu alaihi wasallam) ‎bahawa Dia akan menunaikan hajat dan keinginan baginda supaya baginda (sallaallahu alaihi wasallam) akan redha.

Antara hasrat dan hajat Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) ialah agar Islam maju dan tersebar ke seluruh dunia dan agar umat Islam mendapat kemenangan ke atas musuh-musuh mereka. Semua ini termasuk di antara nikmat-nikmat istimewa yang Allah Ta’ala janjikan.‎

Disebutkan dalam Hadis bahawa ketika ayat ini diturunkan, Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) bersabda:

 إِذًا وَاللَّهِ لَا أَرْضَى وَوَاحِدٌ مِنْ أُمَّتِي فِي النَّارِ

“Jika demikian, aku tidak akan pernah redha, walaupun seorang dari ummatku berada dalam Jahannam.”

 Dari sini, kita dapat menilai betapa besarnya cinta Rasulullah ‎(sallaallahu alaihi wasallam) kepada ummat baginda. Begitu besar cintanya kepada ummat bagida sehingga baginda tidak akan mendapat kenikmatan dan kebahagiaan selagi seorang dari ummat baginda terbakar dalam Neraka.  ‎

Dengan kata lain, Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) sangat mencintai ummat sehinggakan baginda ingin melihat setiap ahli ummat bainda memasuki Syurga. Oleh itu, pada Hari Kiamat, Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) akan meminta syafaat di hadapan Allah Ta’ala agar setiap orang daripada ummat baginda masuk ke Syurga.

Tuntutan Cinta kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam)

Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) mempunyai kasih sayang yang tidak dapat dibayangkan kepada umatnya.  Kecintaan Rasulullah ‎(sallallahu alaihi wa sallam) kepada setiap umat menuntut agar kita juga menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada baginda setiap masa.  Dalam hal ini, terdapat dua perkara penting dan diperlukan.‎

Tuntutan cinta yang pertama ialah supaya kita berpegang kepada sunnah baginda dalam semua aspek kehidupan kita dan menjauhi sepenuhnya dari semua perkara yang tidak diredhainya dan yang dilarangnya.  Dengan cara ini, dengan berpegang teguh kepada sunnah baginda, kita akan dapat menunjukkan sepenuh penghargaan dan kesyukuran kita kepada baginda.  ‎

Tuntutan kasih sayang yang kedua ialah supaya kita memperbanyakkan bacaan selawat, terutamanya pada hari Jumaat. Ini akan membawa kebahagiaan kepada hati Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam).‎

Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) Membesar Sebagai Anak Yatim

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ ‎﴿٦﴾‏

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia memberimu perlindungan?

 Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) adalah seorang yatim sejak awal hayat baginda, sebagaimana ayah baginda telah meninggal dunia sebelum kelahiran baginda.  Ibu baginda kemudian meninggal dunia ketika baginda baru berusia enam tahun, selepas itu datuk baginda, Abdul Mutalib, telah menjaga baginda sehingga umur lapan tahun.  Selepas itu, Abu Talib menjaganya sehingga baginda berumur kira-kira lima puluh tahun

Mengenai Abu Talib, dia menunjukkan kepada Rasulullah ‎(sallaallahu alaihi wasallam) cinta dan kasih sayang yang mana mahupun seorang bapa tidak akan menunjukkan kepada anaknya cinta yang sebegitu.  Malah, setiap orang yang telah memasuki kehidupan Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) menunjukkan kepada baginda kasih sayang yang jauh melebihi kasih sayang bapa atau ibu bapa.  ‎

Sekali lagi – ini adalah dari Allah Ta’ala, bahawa setiap orang yang melihat baginda menyukai baginda dan mengembangkan cinta yang mendalam kepada baginda.‎

Allah Mengurniakan Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) dengan Ilmu Agama

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ ‎﴿٧﴾‏

Dan bukankah Dia mendapati kamu dalam keadaan tidak sedar dan tidak mengetahuinya, lalu Dia menunjukkan jalan kepada kamu?‎

Sebelum kenabian, Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) tidak mengetahui jalan agama yang terperinci. Oleh itu, Allah Ta’ala  memberkatinya dengan ‎kenabian, mengajarnya seluruh ilmu agama dan menunjukkan kepadanya jalan yang lurus yang dengannya baginda akan membimbing manusia kepada Allah.

Allah Menganugerahkan Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) Harta

 وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ ‎﴿٨﴾‏

Dan bukankah Dia mendapati kamu dalam kesusahan, lalu Dia memberi kamu harta?

Dalam ayat ini, Allah berkata kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) mengingatkan baginda akan nikmatNya kepada baginda, dimana baginda telah dibesarkan sebagai seorang yatim, tanpa harta; kemudian Allah Ta’ala  memberkatinya dengan ‎kekayaan dengan mengahwini Saidatina Khadijah (radhiallahu anha) yang ‎kaya dan telah memberikan hartanya kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) untuk dibelanjakan ‎untuk agama.

Keutamaan Menjaga Anak Yatim

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ ‎﴿٩﴾‏

 Maka bagi anak yatim, maka janganlah kamu memperlakukannya dengan kasar.‎

 Rasulullah (sallaallahu alaihi wasallam) telah mengalami kehidupan sebagai anak yatim dan baginda mengetahui perasaan dan fikiran yang terlintas dalam fikiran dan hati seorang anak yatim.  ‎

Anak yatim itu pada umumnya tidak mempunyai sesiapa pun untuk menunjukkan kasih sayang dan kebaikan kepadanya.  Oleh itu, Allah Ta’ala  telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang menjaga anak yatim.  ‎

Hadis mengatakan bahawa rumah yang terbaik adalah rumah di mana anak yatim dihormati dan dijaga dengan baik, dan rumah yang paling buruk adalah rumah di mana anak yatim diperlakukan dengan kejam, dihina dan tidak dilayan dengan baik.‎

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah Ta’ala  memerintahkan Rasulullah ‎(sallaallahu alaihi wasallam) dan umatnya untuk menyantuni anak-anak yatim dengan baik ‎dan belas kasihan, serta menahan diri daripada berlaku kasar kepada mereka.‎

Melayan Fakir Miskin Dengan Baik

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ ‎﴿١٠﴾

Dan adapun orang yang meminta-minta, maka janganlah kamu menolaknya.‎

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala  berpesan kepada Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) supaya bersikap baik dan bertimbang rasa ketika berhadapan dengan pengemis. Jika seorang pengemis datang kepadanya, maka dia tidak boleh menolak pengemis itu dan menghalaunya.

‎Dengan cara ini, umat baginda akan mencontohi teladan baginda dan juga akan bersikap baik dan bertimbang rasa terhadap fakir dan miskin apabila berurusan dengan mereka.‎

 Bercakap Tentang Nikmat Allah Ta’ala

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ ‎﴿١١﴾

 Dan adapun kurniaan Tuhanmu, maka hendaklah kamu meceritakannya.

 Dalam ayat ini, Allah Ta’ala Memerintahkan Rasulullah (sallallahu alaihi wa sallam) untuk bercakap tentang nikmat yang mana Allah Ta’ala  telah mengurniakannya kepada baginda. ‎

Oleh itu, dari ayat ini, kita mengetahui bahawa bercakap tentang nikmat  Allah Ta’ala yang telah dikurniakan kepada seseorang, di hadapan manusia, kerana bersyukur kepada Allah Ta’al, adalah dibolehkan, dengan syarat seseorang itu tidak bermegah-megah atau menisbatkan ia kepada pencapaian dirinya sendiri, malah menganggapnya sebagai anugerah Allah ‎Ta’ala ke atasnya

Semak juga

Surah Inshiraah

أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ‎﴿١﴾‏ وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ‎﴿٢﴾‏ الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ ‎﴿٣﴾‏ وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ ‎﴿٤﴾‏ فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ‎﴿٥﴾‏ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ …