Tanda-tanda Kiamat – Bahagian Keempat

Sepuluh Tanda Besar Kiamat

Sebagaimana terdapat banyak tanda-tanda kecil Kiamat yang tercatat dalam Ahaadith, begitu juga terdapat banyak tanda-tanda besar yang telah disebutkan dalam Ahaadith. Tanda-tanda besar adalah peristiwa penting yang akan berlaku di dunia sebelum Kiamat dan menandakan dekatnya Kiamat. Para Muhadditheen telah mengklasifikasikan kedatangan Mahdi (radhiyallahu ‘anhu) sebagai tanda besar Kiamat yang pertama. (Ishaa’ah ms 191)

Diantara tanda-tanda besar Kiamat, terdapat sepuluh tanda utama yang telah ditonjolkan oleh Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alahi wasallam) dalam Hadis berikut. Jika seseorang perlu merenung sepuluh tanda utama ini, dia akan menyedari bahawa ia adalah begitu besar sehingga kesannya akan mempengaruhi seluruh dunia atau sebahagian besar dunia.

Saidina Huzaifah bin Usaid (radhiyallahu ‘anhu) meriwayatkan, “Pada suatu ketika, Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) datang kepada kami, para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum), ketika kami sedang berbincang. Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bertanya kepada kami, “Apa yang kamu sedang bincangkan?” Kami menjawab, “Kami sedang membicarakan tentang terjadinya Kiamat.” Mendengar ini, Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) berkata, “Sesungguhnya Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat sepuluh tanda besar sebelumnya.”

“Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) kemudian menyebut sepuluh tanda utama sebagaimana berikut: Asap (ini merujuk kepada sejenis kabut atau asap yang turun ke bumi dari langit yang kerananya, umat Islam akan kedinginan dan orang-orang kuffar akan jatuh pengsan), munculnya Dajjal, munculnya binatang melata, terbitnya matahari dari barat, kemunculan Nabi Isa (alaihis salam), kedatangan Ya’juj dan Ma’juj, tiga tenggelaman bumi yang besar, tenggelaman bumi di timur, tenggelaman di barat dan tenggelaman di Jazirah Arab. Tanda yang terakhir ialah api yang akan keluar di Yaman dan menghalau manusia ke dataran kebangkitan (Syria). (Sahih Muslim #2901)

Daripada sepuluh tanda besar yang disebutkan dalam Hadis ini, yang pertama terjadi adalah kemunculan Dajjal.

Kemunculan Dajjal

Diriwayatkan dalam Hadis bahawa dari permulaan zaman hingga datangnya Kiamat, fitnah Dajjal akan menjadi antara ujian terbesar yang akan disaksikan oleh dunia. Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda, “Sejak penciptaan Nabi Adam (‘alaihis salaam) hingga hari kiamat, tidak ada ujian yang lebih besar daripada fitnah Dajjal.” (Mu’jam Kabir #451)

Memandangkan Dajjal akan muncul dalam umat ini – umat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) – mereka harus menghadapi fitnah yang besar ini. Sejauh mana fitnah Dajjal di seluruh dunia dapat diukur dari fakta bahawa setiap Nabi memberitahu umatnya mengenai kemunculan Dajjal dan bahaya besar yang akan ditimbulkannya di dunia.

Saidina Abdullah bin Umar (radhiyallahu ‘anhuma) melaporkan bahawa pada suatu ketika, Saidina Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda, “Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentang Dajjal, dan tidak ada Nabi melainkan baginda memberi amaran kepada kaumnya tentang Dajjal, dan bahkan Nabi Nuh (‘alaihis salaam) telah memberi amaran kepada umatnya tentang Dajjal. Akan tetapi aku akan memberitahu kamu tentang sesuatu yang lebih berkenaan Dajjal yang tidak ada Nabi yang beritahu kaumnya tentang ini – Ketahuilah dengan teliti bahawa Dajjal mempunyai kecacatan pada sebelah matanya, dan Allah Ta‘ala bukanlah zat yang cacat pada sebelah matanya (iaitu Dia bebas dari segala cacat). (Sunan Tirmizi #2235)

Siapa Dajjal?

Sesetengah orang berpandangan bahawa Dajjal adalah sistem dunia manakala yang lain merasakan bahawa dia adalah jin. Masih ada golongan ketiga yang merasakan Dajjal adalah kacukan manusia dan jin. Namun, akidah Ahlus Sunnah wal Jamaa’ah bahawa Dajjal adalah manusia tertentu yang akan muncul pada masa tertentu di dunia. Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaa’ah adalah berdasarkan daripada banyak Hadits sahih Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam).

Insha Allah, pada bahagian yang akan datang, kita akan membincangkan Ahaadith yang merupakan dasar akidah Ahlus Sunnah wal Jamaa’ah.

Semak juga

Tanda-tanda Kiamat – Bahagian Kedua

Tujuan Menjelaskan Tanda-Tanda Kiamat Kepada Ummat Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah memberitahu ummat tentang banyak …