
عن سيدنا أنس رضي الله عنه أنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: السباق (أقوامهم إلى الإسلام) أربعة: أنا سابق العرب (جئتنهم بالإسلام)، وسلمان سابق الفرس (إلى الإسلام)، وبلال سابق الحبشة (إلى الإسلام)، وصهيب سابق الروم (إلى الإسلام) (المستدرك، الرقم: ٥٢٤٣)
Sayyidina Anas (radhiyallahu ‘anhu) meriwayatkan bahawa Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda, “Ada empat orang yang telah mendahului (kaum mereka dalam menerima Islam); Aku adalah orang Arab pertama (kerana aku yang membawa Islam kepada mereka), Salman adalah orang Parsi pertama (memeluk Islam), Bilal adalah orang Habsyah pertama (memeluk Islam) dan Suhaib adalah orang Rom pertama (memeluk Islam).” (Al-Mustadrak #5243)
Keteguhan Hati Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) dalam Islam
Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) merupakan seorang Sahabat yang sangat masyhur dalam kalangan para Sahabat (radhiyallahu ‘anhum), dan merupakan muazzin bagi masjid Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam). Pada mulanya, beliau adalah seorang hamba dari Habsyah yang dimiliki oleh seorang kafir di Makkah Mukarramah. Keputusannya untuk memeluk Islam sudah tentu tidak disenangi oleh tuannya, menyebabkan beliau diseksa dengan begitu kejam tanpa belas kasihan.
Umayyah bin Khalaf, yang merupakan antara musuh ketat Islam, sering menyuruh Sayyidina Bilal berbaring di atas padang pasir yang membahang pada waktu tengah hari, lalu meletakkan sebongkah batu yang besar dan berat di atas dadanya sehingga beliau tidak mampu menggerakkan walau satu anggota badan pun. Umayyah kemudian akan berkata kepadanya, “Tinggalkan Islam, atau kamu akan terus kepanasan dan mati.”
Namun, di sebalik segala seksaan yang dahsyat ini, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) tetap melaungkan, “Ahad! (Allah Yang Maha Esa!) Ahad! (Allah Yang Maha Esa!)”
Pada waktu malam pula, beliau akan dirantai dan disebat. Dengan kesan-kesan luka yang diperoleh akibat sebatan itu, beliau dipaksa berbaring semula di atas tanah yang membahang pada siang hari bagi memaksanya sama ada meninggalkan Islam, atau mati secara perlahan-lahan akibat luka-luka tersebut. Para penyeksa itu sendiri akan berasa penat lalu bergilir-gilir. Kadangkala Abu Jahal yang akan menyeksanya, manakala pada waktu lain pula Umayyah atau orang lain yang akan mengenakan hukuman tersebut. Mereka saling berlumba-lumba untuk menjatuhkan seksaan yang lebih perit dan menyakitkan, namun Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) sedikit pun tidak tunduk kepada mereka.
Melihat penderitaan melampau yang dialami oleh Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu), Sayyidina Abu Bakar (radhiyallahu ‘anhu) telah membeli dan memerdekakannya, lalu beliau menjadi seorang Muslim yang bebas.
Memandangkan Islam mengajar secara mutlak tentang keesaan Tuhan Yang Maha Pencipta, manakala golongan musyrikin Makkah Mukarramah pula mempercayai banyak dewa dan dewi, disebabkan itulah Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) sentiasa mengulang-ulang kalimah, “Ahad! (Allah Yang Maha Esa!) Ahad! (Allah Yang Maha Esa!)”. Ini menunjukkan betapa mendalamnya rasa cinta dan pengorbanan beliau kepada Allah Ta‘ala. (Al-Isabah 1/456, Fadhail Amal [Inggeris] ms. 21-22, [Urdu] ms. 16-17)
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya