ذات مرة، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لسيدنا بلال رضي الله عنه: سمعت الليلة خشف نعليك بين يدي في الجنة (في رؤيا أريته) (من صحيح مسلم، الرقم: 2458)
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) pernah bersabda kepada Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu):
“Malam tadi, aku mendengar bunyi tapak kakimu mendahuluiku di dalam syurga (melalui mimpi yang aku lihat).”
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) Mendengar Bunyi Tapak Kaki Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) di dalam Syurga
Sayyidina Abu Hurairah (radhiyallahu ‘anhu) meriwayatkan bahawa pada suatu ketika, semasa masuk waktu Solat Subuh, Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) bersabda kepada Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu), “Wahai Bilal! Daripada amalan-amalan yang kamu lakukan dalam Islam, beritahulah aku amalan manakah yang paling kamu harapkan dapat memberi manfaat kepadamu di akhirat kelak. Ini kerana, malam tadi aku benar-benar mendengar bunyi tapak kakimu mendahuluiku di dalam syurga (melalui mimpi yang aku lihat).”
Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) menjawab, “Amalan yang aku lakukan, yang amat aku harapkan akan memberikan manfaat yang besar kepadaku ialah, setiap kali aku berwuduk sama ada pada waktu siang atau malam, aku akan mendirikan solat selepas wuduk tersebut (iaitu Solat Sunat Tahiyyatul Wuduk).” (Hadith Riwayat Muslim, No. 2458)
Melalui hadith ini, kita dapat melihat bahawa berkat daripada mengamalkan Solat Sunat Tahiyyatul Wuduk, Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) telah dikurniakan kemuliaan untuk bersama-sama dengan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) di dalam syurga melalui mimpi yang diperlihatkan kepada Baginda. Keadaan Sayyidina Bilal (radhiyallahu ‘anhu) berjalan di hadapan Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) adalah diibaratkan seperti seorang khadam (pembantu) yang berjalan di hadapan tuannya demi berkhidmat dan memastikan keselamatan serta keselesaan tuannya.
Alislaam Usaha untuk Menghidupkan Agama secara keseluruhannya